Agensi

Washington: Seorang pakar bedah plastik tidak bertauliah ditahan atas tuduhan melakukan dua kali pembedahan plastik bagi mengubah hidung seorang lelaki.

Alcaria Jimenez De Rodriguez, 56, ditahan ketika sedang menjalankan prosedur ke atas seorang pesakit lain di Pusat Pembedahan dan Antipenuaan Millenium, Khamis lalu.

Daily Star melaporkan, wanita itu dituduh menjalankan pembedahan plastik tanpa tauliah.

Polis menjalankan siasatan pada bulan lalu selepas seorang pesakit, Vincenzo Zurlo, membuat laporan mengenai pembedahan hidung yang gagal.

Zurlo membayar 2,000 Pound Sterling (kira-kira RM11,440) untuk menjalani pembedahan mengubah hidungnya, sebanyak dua kali.

Pembedahan kali pertama pada Februari tahun lalu.

Lelaki itu kemudian menjalani pembedahan kedua pada Mei tahun sama.

Bagaimanapun, dia mendapati hidungnya tidak sembuh seperti sepatutnya, beberapa bulan selepas itu.

Selain itu, dia dilaporkan curiga dengan kelayakan pakar bedah berkenaan.

Dia menghubungi Jimenez dan meminta nombor lesen perubatan dan insurans, namun wanita itu tidak memberikan butiran terbabit.

Polis kemudiannya menyamar sebagai pesakit sebelum menahannya.

Zurlo mendakwa, dia terpaksa menjalani pembedahan lain untuk membetulkan semula hidungnya selepas apa yang berlaku.

"Rasa sakit itu amat luar biasa. Dia menyamar sebagai doktor, tetapi dia sebenarnya bukan seorang doktor," kata lelaki itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Mac 2021 @ 7:20 AM