Lana Nodin
Lana Nodin

Kuala Lumpur: Geram dengan komen warga maya mengenai hidungnya, pelakon Lana Nodin, 42, berterus-terang dia memang lakukan sesuatu pada hidungnya sehingga kelihatan pelik.

Lana atau nama sebenarnya Mazlina Hasan Nodin berkata dia perlu memasukkan plastik pada hidungnya secara berkala selepas hidungnya pernah patah akibat kemalangan sewaktu dari sekolah lagi.

"Sebenarnya ini hal peribadi saya, tak perlu cerita pun. Korang (netizen) sudah banyak buat dosa kering, saya ceritalah. Saya kasihan nanti sampai tak jumpa di padang mahsyar.

"Hidung saya ini, masa masih sekolah, saya kemalangan. Ketika itu saya bawa motosikal walaupun tak pandai, kemudian jatuh tersungkur, hidung berdarah, patah.

"Sejak daripada situ, hidung saya memang senget, pakai besi beberapa tahun. Selepas itu, disarankan buka (besi). Selepas buka saya letaklah plastik, sebab kalau besi sejuk," katanya.

Pelakon siri Suamiku Lelaki Pendosa itu mengakui dia terpaksa membuat prosedur terbabit demi kebaikan dan sebenarnya tak pernah terfikir mengubah apa-apa pada wajahnya kalau bukan terpaksa.

"Sampai sekarang hidung saya senget, memang aslinya pun senget. Bila orang tanya sama ada saya buat hidung, memang saya buat sebab dipaksa buat akibat sudah lama patah.

"Tapi bila guna plastik, ada jangka hayatnya. Lima, enam tahun ke sepuluh tahun kena tukar. Jadi saya tukarlah supaya ia tak bernanah. 

"Siapa yang komen pasal saya tukar kejadian Tuhan atau apalah, muka saya asli okay. Kalau ini (hidung) tak kemalangan, sudah lama saya tak tukarlah," katanya.

Lana juga menyelar sikap mudah jatuh hukum warga maya yang tidak tahu-menahu mengenai sebab sebenar dia perlu lakukan sesuatu pada hidungnya.

"Hati tak pernah bersih. Ada saja bersangka buruk. Cuba bersangka baik fikir saya dulu pernah kemalangan atau terpaksa tukarkah? Kamu tak tahu cerita saya tapi sibuk nak tahu pasal lubang hidung saya," katanya.

Lana membuat pengakuan dan penjelasan itu menerusi sebuah 'live' di Instagram.

 

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 April 2022 @ 12:32 PM