GAMBAR yang dirakam pada 16 September 1998 menunjukkan seorang ahli farmasi memegang ubat gout, colchicine (gambar sekadar hiasan). FOTO AFP
GAMBAR yang dirakam pada 16 September 1998 menunjukkan seorang ahli farmasi memegang ubat gout, colchicine (gambar sekadar hiasan). FOTO AFP
AFP

Montreal: Ubat untuk rawatan gout, colchicine didakwa mampu mengurangkan risiko komplikasi dan kematian akibat Covid-19.

Dapatan itu diperoleh hasil ujian klinikal di Kanada terhadap 4,488 pesakit seluruh dunia sejak Mac tahun lalu.

Pengarah Institut Jantung Montreal (ICM) Jean-Claude Tardif, yang mengetuai kajian yang digelar 'Colcorona' berkata, keputusan awal kajian itu diperoleh pada petang Jumaat lalu.

"Keputusan penuh kajian ini akan diumumkan kepada orang ramai secepat mungkin," katanya kepada AFP.

"Kajian Colcorona menunjukkan keputusan meyakinkan dengan lebih 20 peratus pengurangan rawatan di hospital atau kematian berkaitan Covid-19 dengan colchicine, berbanding placebo.

"Apabila berdepan dengan pesakit yang terbukti didiagnosis dengan Covid-19, keputusan dengan colchicine adalah lebih baik iaitu pengurangan 25 peratus kemasukan ke hospital, 50 peratus keperluan ventilator dan 44 peratus kematian," kata Tardif.

Menurutnya, hipotesis kajian itu adalah mengapa pesakit mengalami komplikasi dari Covid-19 berikutan keradangan berlebihan yang mempengaruhi sel darah putih pesakit.

"Hasrat kami adalah dengan menggunakan ubat seperti colchicine ini ia dapat mengurangkan reaksi keradangan berlebihan yang dikenali cytokine storms yang mampu mencegah komplikasi.

"Colchicine adalah ubat anti radang yang kuat dikenal pasti sejak sekian lama iaitu 150 tahun lalu.

"Ia diekstrak dari satu tumbuhan yang dipanggil Colchicum Autumnale dan digunakan untuk merawat banyak jenis penyakit seperti gout, radang artritis dan perikarditis," katanya.

Katanya, keputusan tidak disangka-sangka itu kerana colchicine sudah terdapat di farmasi, selamat digunakan dan tidak mahal untuk kebanyakan penyakit.

"Penemuan ini bukan hanya berguna di Perancis, Kanada, Amerika Syarikat (AS) atau negara G8 tetapi di negara membangun, miskin, Afrika, Asia yang mendapat manfaat dengan cepat daripada ubat yang tidak mahal. Ia boleh diambil secara oral melalui tablet," katanya.

Katanya, dapatan itu juga memberi harapan kepada pesakit, sistem penjagaan kesihatan dan kerajaan.

"Kami sudah menyerahkan manuskrip kepada jurnal saintifik utama. Kami sendiri tidak boleh jangka mengenai tarikh penerbitan dan akan berkongsi keputusan secepat mungkin.

"Kami yakin keputusan yang diperoleh adalah konklusif, meyakinkan dan boleh digunakan secepat mungkin untuk dimanfaatkan pesakit.

"Pasti akan ada penilaian segera oleh agensi pengawal selia, Agensi Perubatan Eropah, Health Canada di Kanada, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan di AS yang akan menilai data itu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 3:14 PM