GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Golongan lelaki berusia antara 30 hingga 40 tahun berisiko tinggi menghidapi penyakit gout disebabkan faktor genetik dan juga persekitaran.

Pakar Ortopedik, Jabatan Ortopedik, Pusat Pengajian Sains Perubatan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Muhamad Aizat Mohamed Saat berkata, penyakit gout berpunca daripada pembentukan 'Monosodium Urate (MSU) Crystal' pada bahagian badan pesakit seperti sendi, kulit, saluran pundi kencing dan ginjal.

Menurutnya, penyakit gout menjadi lebih bahaya apabila MSU berkumpul pada bahagian yang tidak sepatutnya seperti di bahagian ginjal boleh menyebabkan komplikasi buah pinggang dan di bahagian saraf tunjang yang boleh mengakibatkan lumpuh.

"Gejala penyakit gout adalah seperti rasa sakit dan bengkak di sendi badan terutama di bahagian ibu jari kaki dan sendi lutut.

"Selain itu, ia juga bermanifestasi di bahagian kulit pesakit yang menjadi bengkak bersama benjolan kecil kekuningan yang dipanggil 'Tophi'," katanya.

Menurutnya, sakit batu karang juga berkait rapat sebagai gejala gout apabila terdapat deposit kristal yang berkumpul pada bahagian yang tidak dapat dilihat contohnya ginjal dan hal ini sebenarnya adalah 'silent killer'.

"Namun, terdapat juga kes di mana pesakit gout tidak mengalami sebarang gejala dan dikategorikan sebagai 'Asymptomatic Hyperuricaemia' yang hanya dapat dikesan apabila pesakit melakukan ujian darah.

"Selain itu, mereka yang mempunyai masalah obesiti dan mengamalkan gaya pemakanan yang tidak sihat juga sangat berisiko untuk menghidapi gout," katanya.

Beliau berkata, masalah komplikasi gout sering terjadi apabila kebanyakan pesakit sangat sinonim dengan beberapa mitos rawatan gout.

"Pertama, pesakit sering menunda rawatan dan tidak berminat untuk mengambil ubat serta hanya menunggu bengkak atau sakit itu hilang sendiri yang menyebabkan inflamasi menjadi semakin teruk.

"Yang keduanya, segelintir pesakit yang sedang menjalani rawatan dengan preskripsi ubat berhenti mengambil ubat-ubatan yang diberi menyebabkan inflamasi berganda ketika serangan akut dan yang ketiga, pesakit gout hanya cenderung mengelak makanan berasid urik tinggi tanpa mengetahui makanan yang mengandungi purin yang tinggi juga perlu dielakkan," katanya.

Dr Muhamad Aizat berkata, ramai yang menyangka makanan laut adalah punca utama gout, namun pada masa sama, pengambilan minuman beralkohol dan minuman ringan yang mengandungi fruktosa juga antara punca utama gout kerana mempunyai purin yang tinggi.

"Daging merah, sayuran yang mengandungi purin, ubat-ubatan seperti ubat darah tinggi turut menjadi penyumbang penyakit gout," katanya.

Beliau turut menasihatkan semua rakyat Malaysia agar tidak memandang remeh mengenai penjagaan kesihatan.

"Risiko penyakit gout boleh dikurangkan dengan menjaga berat badan, bersenam, menjaga pemakanan dan meminum air masak secukupnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2023 @ 2:41 PM