GOUT penyakit sendi tertua.
GOUT penyakit sendi tertua.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin

Menjelang kedatangan Syawal beberapa hari lagi, pastinya ramai yang semakin teruja untuk menjamah pelbagai hidangan lazat dan menyelerakan sepanjang Aidilfitri.

Namun, perlu beringat terutama kepada penghidap penyakit gout kerana makanan adalah faktor utama berlakunya kesakitan akibat pertambahan asid urik.

Pastinya, penghidapnya tidak mahu menahan rasa sakit yang teramat sehingga tidak mampu bergerak dan mengerang kesakitan ketika Aidilfitri.

Penyakit gout sejak sekian lama sudah mendapat perhatian pakar perubatan kerana ia membabitkan begitu ramai individu. Penyakit ini mula dikenali sejak empayar Rom dan ramai penghidapnya terdiri daripada kalangan pemimpin ketika itu kerana pengambilan alkohol dan makanan yang cukup mewah.

Gout yang boleh mengganggu rutin harian penghidapnya berlaku apabila garam asid urik yang berlebihan dalam badan membentuk kristal seperti jarum pada sendi tubuh.

Asid urik adalah sejenis bahan kimia yang terhasil daripada pecahan purina atau bahan buangan di dalam tubuh. Kebiasaannya, asid urik ini akan diserap ke dalam darah masuk ke buah pinggang untuk dikumuh melalui air kencing.

Bagaimanapun, jika penghasilannya dalam tubuh meningkat atau buah pinggang gagal mengumuhkan bahan buangan ini, parasnya akan meningkat.

Paras asid urik yang tinggi ini berlaku sekiranya individu terbabit mengambil makanan yang mengandungi purina yang tinggi seperti makanan laut, hati, ikan bilis dan pelbagai jenis kekacang.

Meskipun paras asid urik yang tinggi ini tidak berbahaya, parasnya yang berlebihan boleh menyebabkan pembentukan kristal dan terjadinya gout.

Gout lebih banyak dideritai lelaki berumur 40-an ke atas berbanding wanita, namun kebiasaan wanita boleh mendapat gout selepas mereka menopaus.

Bagaimanapun, jika individu yang menghidap–nya terdiri daripada mereka yang muda iaitu lelaki yang berumur di bawah 30 tahun atau wanita yang belum menopaus, doktor mengesyaki mereka mungkin menghadapi masalah enzim.

Masalah ini menyebab–kan penghasilan purina secara berlebihan atau kegagalan dalam pemprosesan di bahagian buah pinggang.

Punca Genetik

Faktor ini memainkan peranan yang cukup besar dalam menentukan risiko seseorang mendapat gout. Dianggarkan enam hingga 18 peratus mereka yang menghidap gout mempu–nyai sejarah keluarga yang menghidap gout.

Berat badan berlebihan

Pengambilan makanan secara berlebihan mening–katkan penghasilan asid urik dalam tubuh dan risiko peningkatan asid urik yang tinggi dalam darah.

Pengambilan minuman keras secara berlebihan boleh mengganggu proses pembuangan asid urik dari tubuh.

Memakan makanan yang kaya dengan purina boleh menyebabkan gout atau menjadikan gout semakin teruk.

Segelintir individu

mungkin menghadapi masalah kecacatan enzim yang mengganggu proses pemecahan purina dalam tubuh.

Gejala

- Sakit pada sendi terutama pada sendi ibu jari kaki.

- Panas pada sendi.

- Rasa sakit yang teramat.

- Merah pada bahagian yang sakit.

Pencegahan

- Berat badan berlebihan sering kali dikaitkan de–ngan gout. Sebaik-baiknya mereka yang menghadapi masalah berat badan berlebihan mengawal berat badan mereka.

- Kurangkan pengambilan makanan yang kaya dengan purina seperti hati, makanan laut termasuk ikan bilis, udang dan sotong terutama ketika Aidilifitri ini.

- Elak mengambil minuman keras.

Rawatan

Sejak zaman empayar Byzantium (Tahun Masihi 457), colchicine adalah sejenis ubat yang diberikan untuk menangani serangan gout secara tiba-tiba.

Meskipun ubat ini berkesan namun ia boleh me–nyebabkan individu terbabit berasa loya, muntah dan cirit-birit. Sesetengah individu yang mendapat sera–ngan gout lebih tiga atau empat kali dalam setahun perlu mengambil ubat gout setiap hari.

Bagaimanapun, dengan rawatan yang betul keba–nyakan pesakit gout dapat mengawal gejala yang dihidapi di samping dapat menjalani kehidupan normal.

Malah, gout juga boleh dirawat menggunakan satu atau kombinasi rawatan.

Sasaran untuk rawatan gout ini adalah untuk me-

ngurangkan kesakitan akibat gout secara tiba-tiba, mencegah serangan yang mungkin berlaku dan me–ngelakkan pembentukan tophi atau batu karang pada buah pinggang.

Pesakit biasanya akan pulih dalam masa beberapa jam atau bebas daripada sebarang serangan dalam masa beberapa hari selepas rawatan.

Menurut Pakar Perunding Rheumatik Dr Ashman Musa, bahagian sendi yang biasa terbabit ialah sendi di bahagian ibu jari kaki, lutut dan buku lali.

Menurutnya, mendapat-

kan nasihat dan rawatan teratur daripada pakar perubatan adalah jalan pe–nyelesaian bagi menangani penyakit itu.

“Pengambilan ubat perlu betul dan dalam tempoh yang sesuai bagi memastikan ia dapat dikawal dan tidak menyebabkan penghidapnya menderita berpanjangan.

“Selain pengambilan ubat, gaya hidup sihat ter–utama penjagaan pengambilan makanan antara ka–edah yang paling berkesan bagi memastikan ia tidak kerap menyerang,” katanya.

Dr Ashman berkata, penyakit ini tidak boleh dipandang ringan dan segera mendapatkan kaedah rawatan terbaik demi kesihatan berterusan.

Komplikasi

Selain kesakitan yang teramat pada sendi, sesetengah pesakit berkemungkinan menghadapi masalah pembentukan batu karang pada buah pinggang.

Bagi masalah gout yang serius yang lebih dikenali sebagai chronin tophaceous, garam asid urik yang membentuk kristal ini boleh membentuk kapur pada sendi.

Serangan gout ini lebih menyakitkan dan mencucuk-cucuk ketika ia me–nyerang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 Julai 2015 @ 5:01 AM