LAMPU di tepi kolam Lincoln Memorial dinyalakan selepas Biden dan Harris menghadiri majlis penghormatan ringkas buat korban Covid-19. FOTO AFP.
LAMPU di tepi kolam Lincoln Memorial dinyalakan selepas Biden dan Harris menghadiri majlis penghormatan ringkas buat korban Covid-19. FOTO AFP.
AFP

Washington: Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memberi penghormatan ke atas lebih 400,000 rakyat negara itu yang maut akibat Covid-19, sebaik tiba di sini, untuk majlis angkat sumpahnya.

"Kadangkala sukar untuk diingati tetapi itulah cara kita pulih. Penting juga untuk kita melakukannya sebagai satu negara," katanya ketika berucap ringkas di hadapan Lincoln Memorial, yang turut disertai bakal naib presidennya, Kamala Harris.

Serentak itu 400 lampu di tepi kolam dinyalakan sebagai memperingati pemergian mangsa, selain loceng gereja di sekitar Washington dibunyikan dan lampu bangunan Empire State di New York bersinar merah yang melambangkan jantung berdegup.

Biden yang terkenal dengan sikap empati dan turut terkesan dengan tragedi itu secara peribadi, menekankan keutamaan untuk rakyat AS bersatu selepas kekecohan selama empat tahun pemerintahan Presiden Donald Trump.

Majlis angkat sumpah presiden kebiasaannya membabitkan perhimpunan besar-besaran di Washington, namun tidak bagi Biden dan Harris yang upacara mereka disiarkan secara virtual, berikutan larangan akibat Covid-19 dan penguatkuasaan langkah keselamatan susulan rusuhan di Capitol AS, 6 Januari lalu.

Di hamparan rumput yang menjadi tempat berkumpul kini berganti dengan pacakan ribuan bendera AS dan 50 negeri di bawahnya sebagai penghormatan kepada rakyat yang tidak dapat bersama untuk majlis itu.

"Walaupun fizikalnya kita berpisah, tetapi kita rakyat Amerika bersatu dengan semangat," kata Harris yang melakar sejarah sebagai naib presiden wanita pertama.

Terdahulu, Biden menghadiri majlis perpisahan di Delaware dalam suasana hiba selepas berkhidmat sebagai senator bandar itu selama sedekad dan lapan tahun menjadi naib presiden.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 January 2021 @ 11:37 AM