PEMANDANGAN waktu malam di Avenida 9 de Julio. FOTO AFP
PEMANDANGAN waktu malam di Avenida 9 de Julio. FOTO AFP
Agensi

Buenos Aires: Avenida 9 de Julio di Argentina, memegang Rekod Dunia Guinness (GWR) untuk jalan raya (avenue) paling lebar di dunia.

Ia mempunyai 16 lorong dengan lebar keseluruhannya kira-kira 140 meter.

Oddity Central melaporkan, bandar ini mendapat jolokan 'Paris of South America', jadi pihak berkuasa tempatan memutuskan untuk mengukuhkan reputasi itu dengan membina infrastruktur monumental yang diilhamkan berdasarkan Champs Elysee di Paris.

Ia adalah projek besar yang mengambil masa hampir setengah abad untuk disiapkan dan dirasmikan pada 1980, serta masih memegang rekod untuk jalan raya terlebar di dunia.

Mewujudkan ruang mencukupi untuk jalan lebih besar daripada yang lain di tengah kota metropolitan itu adalah satu cabaran yang amat besar. Ia mengakibatkan perobohan 60,000 meter persegi hartanah dan pemindahan ribuan penduduk hanya untuk melengkapkan bahagian pertamanya.

Terdapat empat lorong tambahan untuk bas pengangkutan awam, kawasan pejalan kaki dan orang ramai perlu mengambil masa yang agak lama untuk melintasi jalan raya ini.

Seorang pempengaruh TikTok, baru-baru ini, merakamkan dirinya berjalan dari satu sisi Avenida 9 de Julio ke bahagian yang lain. Dia mengambil masa empat minit dan 17 saat untuk melakukannya walaupun mendakwa berjalan lebih laju daripada kebiasaannya.

Ia termasuk semua masa dihabiskannya untuk menunggu di lampu isyarat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Jun 2024 @ 1:43 PM