CHRISTOPHE LEMAITRE
CHRISTOPHE LEMAITRE
AFP

PARIS: Pemenang pingat gangsa acara 200 meter (m) Olimpik dari Perancis, Christophe Lemaitre diketepikan dari menyertai Kejohanan Olahraga Eropah bulan depan gara-gara kecederaan hamstring.

Lemaitre yang juga pemenang pingat emas sebanyak empat kali Eropah menarik diri dalam acara pecut 100m di Diamond League, Paris pada Sabtu selepas dilihat memegang lutut dan jatuh ke trek.

Persekutuan Olahraga Perancis memaklumkan, ujian imbasan menunjukkan otot terkoyak di hamstring kanan, sekali gus mengetepikannya daripada kedua-dua kejohanan kebangsaan dan Eropah di Berlin pada 7 hingga 12 Ogos.

Ia adalah berita buruk buat olahraga Perancis selepas juara tiga kali jalan kaki 50km Eropah, Yohann Diniz juga menarik diri dari saingan di ibu negara Jerman itu kerana kecederaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 2:28 PM