Steinway Tower. FOTO Agensi
Steinway Tower. FOTO Agensi
Agensi

New York: Bangunan kediaman pencakar langit paling 'kurus' di dunia. Catatan itu direkodkan Steinway Tower, pangsapuri mewah 84 tingkat di Manhattan, Amerika Syarikat (AS) dengan nisbah ketinggian kepada lebar, melebihi 24:1.

Oddity Central melaporkan, ia pencapaian seni bina yang mengagumkan kerana bangunan itu ketiga tertinggi di Hemisfera Barat, selepas One World Trade Center dengan ketinggian 541 meter (m) dan Menara Central Park (472m).

Tetapi, ia sebenarnya bangunan pencakar langit paling 'kurus' di dunia.

Walaupun setinggi kira-kira 435m, Steinway Tower hanya selebar 60 kaki (18m), sangat 'kurus' sehingga akhbar The Guardian menggelarnya sebagai 'pengacau kopi'.

Sebagai perbandingan, kelebaran Steinway Tower adalah seperti lorong boling yang panjang.

Walaupun dibina daripada konkrit terkuat di dunia, ia tidak terlepas daripada bergoyang, fenomena yang menjejaskan hampir semua bangunan pencakar langit di dunia.

Jurutera struktur Rowan Williams Davis dan Irwin memberitahu NY Times pada 2015, menara setinggi 304m itu akan bergoyang dari beberapa inci pada keadaan berangin pada hari biasa, kepada dua kaki (0.6m).

Juga dikenali sebagai menara pensel, trend itu menjadi popular pada 1970-an di Hong Kong, tetapi kini menjadi ikutan di AS juga.

Walaupun menawarkan penduduk dengan pemandangan indah persekitaran kota raya, bangunan pencakar langit ini juga boleh menjadi masalah.

Contohnya, menara 432 Park Avenue, yang menjadi bahan berita membabitkan penduduknya.

Pada September 2021, lembaga menara itu menyaman pemaju kerana gagal mereka bentuk dan membina bangunan dengan betul untuk ketinggiannya yang luar biasa.

Ia menyebabkan bunyi dan getaran yang mengganggu penghuni bangunan berkenaan.

Dalam pada itu, Steinway Tower mungkin memegang gelaran pencakar langit paling 'kurus' di dunia, tetapi harga pangsapuri kecil (studio apartment) bermula dengan AS$7.75 juta (kira-kira RM32.71 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 6:30 AM