LUBANG benam berkenaan. FOTO AFP
LUBANG benam berkenaan. FOTO AFP
Agensi

Santiago: Pakar di Chile sedang menyiasat kemunculan lubang benam (sinkhole) yang dikatakan lebih besar daripada gelanggang tenis.

Lubang itu muncul berhampiran lombong tembaga di gurun Atacama.

Perkhidmatan Perlombongan dan Geologi Negara (Sernageomin) dalam satu kenyataan berkata, pakar dihantar untuk memeriksa lubang itu.

Lubang itu selebar 32 meter dan dua kali lebih dalam yang muncul di kawasan kira-kira 800 kilometer (km) di utara Santiago, hujung minggu lalu.

Perimeter keselamatan 100 meter didirikan di sekeliling lubang yang dikesan di perbandaran Tierra Amarilla.

Ia berhampiran lombong Alcaparrosa yang dikendalikan oleh firma Kanada, Lundin Mining.

Syarikat itu dalam satu kenyataan, sejak lubang itu dikesan, ia tidak memberi kesan kepada kakitangan, peralatan atau infrastruktur malah lubang itu kekal stabil.

"Sebagai langkah keselamatan, kerja pembangunan di kawasan lombong bawah tanah Alcaparrosa dihentikan sementara waktu," katanya.

Sementara itu, Pengarah Sernageomin, David Montenegro berkata, pakar akan berusaha untuk mengenal pasti punca keruntuhan.

Selain itu, ia bagi memastikan semua langkah keselamatan diambil untuk melindungi nyawa pekerja dan komuniti yang berhampiran dengan tapak itu.

Datuk Bandar Tierra Amarilla, Cristian Zuniga berkata, kira-kira 13,000 penduduk, memberitahu wartawan bahawa lubang itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Kami meminta supaya puncanya dijelaskan sama ada keruntuhan itu akibat aktiviti perlombongan atau sesuatu yang lain," katanya.

Chile ialah pengeluar tembaga terbesar di dunia dan menjadi pembekal satu perempat logam itu di peringkat global.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 7:01 AM