SITUASI di Mogadishu, Somalia, pada 29 Oktober lalu. Gambar hiasan. FOTO EPA
SITUASI di Mogadishu, Somalia, pada 29 Oktober lalu. Gambar hiasan. FOTO EPA
BERNAMA

Mogadishu: Seorang pengebom bunuh diri meletupkan dirinya di pintu masuk kem latihan tentera di bahagian selatan Mogadishu pada petang Sabtu, mengorbankan sekurang-kurangnya 15 orang, lapor Xinhua.

Orang awam dan rekrut baharu adalah antara yang terkorban manakala berpuluh-puluh lagi cedera, lapor portal berita Garowe pada Ahad memetik seorang pegawai tentera.

Kumpulan Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab atas serangan itu, menurut media tempatan lain.

Pasukan Tentera Kebangsaan Somalia yang disokong oleh militia pro-kerajaan membunuh lebih 100 militan Al-Shabaab pada petang Khamis semasa serangan di sebuah kampung di wilayah Hiran di tengah Somalia.

Di Mogadishu minggu lalu, dua letupan bom kereta yang menyasarkan bangunan Kementerian Pendidikan Somalia, membunuh sekurang-kurangnya 100 orang dan mencederakan lebih 300 yang lain.

Al-Shabaab berjuang selama lebih sedekad untuk menjatuhkan kerajaan pusat Somalia bagi menubuhkan pemerintahannya sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 November 2022 @ 12:07 PM