UZAIR bersama Munirah.
UZAIR bersama Munirah.
Hajahfarhana Tarmudi


Ahmad Uzair Ahmad Syauqi, 8, anak ketiga daripada empat beradik dikesan lambat bercakap biarpun ketika itu usianya sudah hampir dua tahun.

Dia masih mampu memberikan maklum balas atau pandangan mata ketika dipanggil ataupun bersemuka dengan ibu bapanya.

Ibunya, Munirah Hanim Ahmad Jahudi, 34, berkata, selepas diuji dan menjalani pemeriksaan, Uzair disahkan sebagai anak autisme berdasarkan isu fokus dan sosialnya.

“Sememangnya, Uzair dilihat sedikit berbeza daripada adik-beradiknya yang normal. Dia tidak pandai bermain dan mudah bosan.

“Uzair juga tidak boleh bermain dengan kanak-kanak lain dalam tempoh lama. Malah, saya dapat lihat perbezaan dengan anak yang lain setiap kali berkunjung ke kedai permainan.

“Uzair hanya duduk diam dalam kereta sorong bayi biarpun sudah berusia lebih dua tahun berbanding adik-beradiknya yang teruja untuk memegang dan memilih permainan diinginkan,” katanya.

Lumrah ibu bapa yang berasa bimbang dengan perkembangan anaknya itu, Uzair dibawa berjumpa dengan ahli terapi percakapan dan craniosacral.

Pada masa sama, Uzair turut dibawa mengikuti program pemulihan awal selama dua tahun iaitu program untuk kanak-kanak kurang upaya bagi meningkatkan peluang mereka memasuki program pendidikan biasa.

Biasanya fokus pencegahan adalah kepada pengurusan fungsi tubuh dan kemahiran praakademik. Namun, semua yang diajar tidak berkesan apabila Uzair berada di rumah dan tetap menyendiri.

“Melihat perkembangannya yang kurang memuaskan itu, saya berhentikan Uzair daripada mengikuti program berkenaan.

“Kemudian, mengambil keputusan membabitkan adik-beradik Uzair yang lain untuk turut serta membuat aktiviti atau bermain bersama-sama di rumah sebagai terapi selama beberapa bulan.

“Selepas itu, barulah dia dimasukkan ke tadika kanak-kanak normal yang mempunyai kuota untuk anak istimewa.

“Ia bertujuan mengajar Uzair dengan sikap kanak-kanak normal. Kemudian, apabila di rumah pada waktu petang ada guru bantuan khas datang untuk membantu secara lebih terperinci mengenai keperluan Uzair bagi membantu dirinya meningkatkan kemahiran diri,” katanya.

Kini, Uzair sudah dapat memberi fokus dari segi akademi bermula daripada mengenal warna hingga lebih sukar. Pada 2014 pula, Munirah mula menggunakan minyak pati sebagai terapi dan urutan.

Kebetulan, ada seseorang memperkenalkan kebaikan minyak pati yang digunakan kepadanya. Uzair mempunyai masalah untuk tidur, namun selepas menjalani terapi menggunakan minyak pati itu tahap kualiti tidurnya semakin meningkat.

Malah, dia dapat tidur lebih lama berbanding sebelum ini. Uzair juga menjalani rawatan akupuntur untuk memperbaiki masalah deria yang dialami selama empat bulan.

Sebelum ini, Uzair tidak boleh memakai pakaian daripada fabrik kapas kerana memiliki masalah deria yang sensitif menyebabkan dirinya berasa rimas.

Bukan hanya terapi, malah pemakanan Uzair juga dikawal seperti pengambilan gula dan makanan beryis bagi mengelakkan hiperaktif. Biarpun Uzair anak istimewa, dia turut diajar bersama adik-beradiknya yang lain untuk melakukan kerja rumah.

Ia bagi mendidik dirinya lebih berdikari apabila menginjak dewasa. Bagi Munirah, setiap anak autisme mempunyai pelbagai masalah berbeza. Oleh itu, ibu bapa perlu mengenal pasti masalah yang dialami dan berusaha memperbaikinya sedikit demi sedikit.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 January 2017 @ 1:36 PM