KEADAAN hospital di Bangladesh yang kosong. FOTO AFP
KEADAAN hospital di Bangladesh yang kosong. FOTO AFP
AFP

Dhaka: Ribuan katil yang disediakan di hospital terbiar kosong tanpa pesakit walaupun Bangladesh sedang berdepan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Ini kerana orang awam takut mengunjungi hospital disebabkan reputasi hospital yang tidak berapa baik.

Sebahagian pesakit memberitahu kakitangan hospital bahawa mereka 'sanggup mati di rumah dari mati di hospital', kata pegawai badan kebajikan perubatan kepada AFP.

Bangladesh mencatatkan sekitar 180,000 jangkitan Covid-19 dengan 3,000 kes baharu direkodkan setiap hari manakala, angka kematian mencecah 2,275.

Namun, pakar perubatan memaklumkan bahawa angka sebenar adalah lebih tinggi memandangkan terlalu sedikit ujian saringan dijalankan.

Di Dhaka, kira-kira 4,750 daripada 6,305 katil untuk pesakit Covid-19 tidak digunakan.

Di hospital lapangan yang menyediakan 2,000 katil, hanya 100 katil digunakan.

Pihak berkuasa di Chittagong - bandar yang menjadi pusat wabak memaklumkan bahawa hanya separuh katil di hospital digunakan pesakit Covid-19.

Jabatan kesihatan berkata, punca masalah itu berlaku adalah kerana pesakit memilih untuk menjalani rawatan di rumah masing-masing.

"Kebanyakan pesakit mempunyai gejala ringan dan kerana itu mereka tidak ke hospital," kata Timbalan Ketua Jabatan, Nasima Sultana kepada AFP.

Bagaimanapun, pakar kesihatan dan pesakit berkata, mereka bimbang layanan yang mungkin diterima sekiranya berkunjung ke hospital.

Berdasarkan survei dijalankan di kalangan 80,000 penduduk, ia mendapati 44 peratus warga Bangladesh 'terlalu takut' dengan hospital termasuk untuk menghubungi talian bantuan Covid-19.

Mereka juga takut dibawa ke hospital sekiranya didapati positif virus berkenaan.

Ketua Pergerakan Hak Kesihatan Bangladesh, Rashid Mahbub berkata, hospital awam di Bangladesh terkenal dengan sikap tidak mesra pesakit.

"Persepsi negatif itu sudah sedia ada menyebabkan mereka memilih untuk duduk di rumah.

"Hanya sebahagian saja mampu mendapatkan rawatan di hospital swasta," katanya.

Katanya, mereka yang berdepan masalah pernafasan serius saja tampil mendapatkan rawatan di hospital awam.

"Mereka juga mendengar cerita bahawa ada doktor dan jururawat yang tidak mahu mendekati pesakit kerana bimbang dijangkiti Covid-19," katanya.

Sebelum pandemik ini bermula, hospital di Bangladesh sudah dikenali dengan reputasi buruk.

Tahun lalu, lebih 500,000 orang berkunjung ke India untuk mendapatkan rawatan.

Mereka yang berkemampuan akan berkunjung ke Thailand atau Singapura untuk pemeriksaan kesihatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 5:29 PM