Pekerja mengenakan pakaian perlindungan untuk mengagihkan sayuran dan barangan keperluan kepada penduduk berikutan Shanghai diletakkan di bawah perintah berkurung. -  FOTO Reuters
Pekerja mengenakan pakaian perlindungan untuk mengagihkan sayuran dan barangan keperluan kepada penduduk berikutan Shanghai diletakkan di bawah perintah berkurung. - FOTO Reuters
Reuters

Shanghai: Shanghai mengedarkan kepada penduduk berjuta-juta kotak ubat tradisional Cina (TCM), seperti produk herba dan kapsul selesema, yang dikatakan boleh merawat Covid-19 dalam usaha mengawal wabak.

Ibu kota komersial China, kini di bawah perintah berkurung yang berpanjangan, melaporkan lebih 17,000 jangkitan Covid-19 baharu pada 5 April, termasuk 311 kes bergejala, dalam kalangan penduduk lebih 26 juta.

"Menghadapi varian Omicron yang sangat mudah berjangkit, kami harus menggunakan rawatan TCM secepat mungkin," kata Fang Min, presiden Hospital Shuguang di bandar itu.

"Bagi orang awam, termasuk kumpulan berisiko tinggi, mengambil rawatan TCM apabila wabak itu teruk mempunyai kesan pencegahan yang baik," katanya pada taklimat berita pada Selasa, sambil menambah bahawa rawatan sedemikian sudah diagihkan kepada lebih 21 juta orang.

Beberapa penduduk memberitahu Reuters bahawa mereka telah menerima ubat selesema percuma, Lianhua Qingwen daripada jawatankuasa kejiranan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Beberapa yang lain dijangkiti Covid-19 berkata mereka mendapat ubat TCM untuk dilarutkan dalam air panas.

Kira-kira 98 peratus pesakit Covid-19 Shanghai sedang mengambil rawatan TCM, dan pasukan pekerja TCM telah pergi ke hospital dan tapak kuarantin yang ditetapkan sejak wabak terbaru bermula pada Mac, kata Fang.

Pihak berkuasa kesihatan China telah mengesyorkan beberapa ubat dan ramuan TCM, seperti Lianhua Qingwen, untuk digunakan oleh pesakit Covid-19, walaupun kekurangan data klinikal yang boleh dipercayai mengehadkan penggunaannya di luar negara.

Singapura, yang mempunyai populasi etnik Cina yang besar berkata pada November tahun lalu, tidak ada bukti saintifik daripada ujian klinikal rawak bahawa mana-mana produk herba, termasuk Lianhua Qingwen, boleh digunakan untuk mencegah atau merawat Covid-19.

Ia menasihatkan penggunaan semua produk herba yang dirumus untuk demam dan selesema biasa hanya membantu merawat gejala seperti sakit kepala, hidung berair atau tersumbat, sakit tekak dan batuk.

Pada tahun 2020, Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA), memberi amaran kepada vendor Lianhua Qingwen untuk berhenti menjualnya sebagai rawatan Covid-19.

Pegawai di daerah Hongkou di Shanghai telah mengedarkan 722,000 kotak kapsul Lianhua Qingwen, dan berhasrat untuk memberi semua penduduk ubat TCM seperti herba dan uncang teh, kata Shanghai Daily, yang dimiliki oleh kerajaan tempatan.

Shijiazhuang Yiling Pharmaceutical, pembuat Lianhua Qingwen berkata, percubaan klinikal pada 2020 menunjukkan bahawa ia bersama-sama terapi konvensional berkesan melegakan simptom Covid-19 seperti demam dan batuk.

China meluluskan beberapa rawatan termasuk ubat berasaskan antibodi keluaran Pfizer Inc, Paxlovid dan ubat berasaskan antibodi dari Brii Biosciences Ltd untuk merawat pesakit Covid-19, tetapi tidak jelas sejauh mana ia digunakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 April 2022 @ 6:25 PM