DOKTOR di India memeriksa pesakit ‘kulat hitam’ atau mukormikosis. FOTO AFP
DOKTOR di India memeriksa pesakit ‘kulat hitam’ atau mukormikosis. FOTO AFP
BERNAMA

Dhaka: Sebuah hospital di Dhaka, Bangladesh mengesan dua kes 'kulat hitam' seperti wabak yang sama berlaku di negara jiran India, menurut pegawai di Hospital Umum Birdem.

Salah seorang pesakit berusia 45 tahun didiagnosis dengan 'kulat hitam' yang secara perubatan dikenali sebagai mukormikosis, pada 8 Mei.

Agensi berita Anadolu memetik akhbar Daily Star tempatan memaklumkan, seorang lagi berusia 60 tahun dikesan dijangkiti kulat hitam, pada 23 Mei lalu.

"Di makmal kami, kami mengesahkan dua pesakit dengan mukormikosis. Kami merawat mereka dan berusaha mengawal gula dalam darah mereka," kata laporan itu memetik Lovely Barai, seorang profesor bersekutu dengan jabatan mikrobiologi di hospital.

Jabatan kesihatan negara mengadakan mesyuarat tergempar mengenai kulat hitam minggu lalu.

Bangladesh berkongsi sempadan darat lebih 4,000 kilometer dengan India.

Hampir 10,000 orang di India dijangkiti kulat hitam dengan lebih 200 kematian.

Pihak berkuasa India memberi amaran penyakit kulat hitam itu dengan kadar kematian 50 peratus dikaitkan dengan Covid-19.

Bercakap dengan Agensi Anadolu, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kesihatan (DGHS) Bangladesh Dr ABM Khurshid Alam mengatakan mereka lebih mementingkan Covid-19, bukan jangkitan 'kulat hitam'.

"Biasanya, kulat tersedia di air, tanah dan udara.

"Jadi sasaran utama kami bukanlah rawatan selepas jangkitan sebaliknya kita lebih tertumpu kepada langkah pencegahan supaya orang tidak dijangkiti olehnya," katanya.

Katanya, bagaimanapun, penyakit itu tidak berada dalam keadaan yang membimbangkan di Bangladesh.

Setakat ini Bangladesh mencatatkan 12,401 kematian akibat wabak Covid-19 sementara jumlah keseluruhan kes positif mencapai 790,521, menurut catatan rasmi kerajaan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Mei 2021 @ 3:23 PM