Ketua Jururawat Junaini Johari memeriksa pesakit di ICU Hospital Sungai Buloh. FOTO EFFENDY RASHID
Ketua Jururawat Junaini Johari memeriksa pesakit di ICU Hospital Sungai Buloh. FOTO EFFENDY RASHID
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Sistem kesihatan di empat negeri akan lumpuh jika kes harian baharu yang dilaporkan tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, purata kes harian di empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, dan Labuan meningkat secara purata 2.6 peratus selama tujuh hari kebelakangan ini.

"Sehingga kini, empat negeri menunjukkan peningkatan kes harian baharu melebihi kapasiti maksimum hospital di negeri berkenaan iaitu 38 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk.

"Lebih membimbangkan lagi, trend kemasukan kes-kes Covid-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) masih berada pada tahap yang tinggi.

"Ia tidak menunjukkan penurunan yang ketara sejak dari Minggu Epidemiologi (ME) ke-23 (6 Jun hingga 12 Jun) hingga kini, di mana jumlah penggunaan katil ICU masih melebihi 90 peratus. Pada masa yang sama, petugas barisan hadapan mengalami gejala burnout," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, KKM khuatir dengan situasi ini dan mengambil langkah segera bagi meningkatkan lagi kapasiti merawat Covid-19 di lapangan.

"Antara langkah-langkah diambil adalah penukaran beberapa hospital di kawasan Lembah Klang sebagai Hospital Covid-19, misalnya Hospital Ampang, Hospital Sungai Buloh, dan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia.

"Meningkatkan lagi kapasiti katil Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk dijadikan sebagai pusat rawatan pesakit kategori 4 dan 5.

"Selain itu, memindahkan pesakit bukan Covid-19 ke hospital swasta; mempertimbang menukar status Hospital Shah Alam bagi merawat kes-kes COvid-19; menaik taraf kegunaan katil (repurpose bed) di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal COVID-19 dan menambah kapasiti katil-katil bagi menempatkan pesakit Covid-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Awam khusus dalam merawat pesakit Covid-19.

"Mencadangkan menggunakan Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Hospital Universiti Teknologi MARA (UiTM) sebagai hospital Covid-19; bekerjasama dengan hospital swasta; menggalakan penubuhan lebih banyak Pusat Kuarantin Risiko Rendah Swasta (PKRCS) kendalian fasiliti kesihatan swasta; dan memobilisasikan lebih ramai petugas kesihatan negeri PPN Fasa kedua ke negeri kritikal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Julai 2021 @ 7:24 PM