GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Agensi

NEW DELHI: Seorang petani di Bihar sempat menulis nama pembunuh menggunakan darah di dinding bilik rumahnya, sebelum jatuh dan meninggal dunia.

Gulfnews melaporkan kejadian berlaku di perkampungan Urdu di Rohtas yang terletak 150 kilometer di barat daya Bihar, minggu lalu.

Polis berkata, Dadan Tiwari, 65, tidur di ruang terbuka bumbung rumah kerana musim panas kering, apabila anak saudaranya menghampiri dan menyerang dengan penyodok tanah pada tengah malam.

Walaupun cedera dan berlumuran darah di seluruh badan, mangsa mampu turun dan menolak kuat pintu bilik tidur anak lelaki untuk mengejutkannya.

Menurut laporan, selepas melihat bapa kritikal, anak lelakinya bertanya identiti penyerang, namun mangsa tidak mampu membuka mulut untuk menceritakan insiden itu.

Sebaliknya, dia menulis nama penyerang yang juga anak saudaranya dengan darah daripada luka di badan sebelum jatuh.

Dadan dihantar terus ke pusat penjagaan kesihatan utama tetapi disahkan meninggal dunia.

"Apabila kami tanya, dia tidak bercakap apa-apa tetapi menulis nama penyerang itu pada dinding dengan darah sebelum tidak sedarkan diri," kata anak mangsa, Ramesh Tiwari kepada polis.

Polis tempatan, Rakesh Kumar ketika dihubungi pada Ahad, memaklumkan gerakan mencari suspek segera dilakukan sebaik menerima laporan, namun lelaki itu melarikan diri dari rumah.

Anak mangsa memberitahu, bapanya mungkin dibunuh kerana pertikaian keluarga. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Julai 2020 @ 6:01 AM