FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Agensi

New Delhi: Pengantin perempuan di Uttar Pradesh, India nekad membatalkan majlis perkahwinan selepas melihat pasangannya mabuk ketika resepsi mereka.

Times of India melaporkan, pengantin lelaki kelihatan mabuk sewaktu upacara 'Jai mala' diadakan.

Insiden itu berlaku di kampung Tiwari Patti di daerah Kushinagar, Uttar Pradesh.

Pengantin lelaki berasal dari kampung Bhalpatti di daerah Darbhanga, Bihar manakala pasangannya dari kampung Tiwari Patti.

Resepsi perkahwinan mereka diadakan pada 2 Jun lalu.

Majlis berjalan lancar sehingga pengantin perempuan mendapati pengantin lelaki mabuk dan terhuyung-hayang ke atas pentas untuk upacara yang menjadi tradisi perkahwinan utama India.

Pengantin lelaki kelihatan seperti berada di bawah pengaruh alkohol dan menyebabkan pasangannya geram melihat aksi berkenaan.

Keluarga pengantin perempuan juga terkejut dan berang selepas melihat gelagat pengantin lelaki.

Pengantin perempuan dilihat menangis teresak-esak dan majlis perkahwinan terpaksa dihentikan akibat insiden itu

Difahamkan, banyak perbincangan diadakan membabitkan keluarga kedua belah pihak.

Bagaimanapun, mereka tidak dapat mencapai kata sepakat.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2023 @ 12:48 PM