ALEKSEY Petrov menikam leher Anastasia. FOTO Agensi
ALEKSEY Petrov menikam leher Anastasia. FOTO Agensi
Agensi

Moscow: Seorang lelaki dari Suzun, di wilayah Novosibirsk, Rusia sanggup membunuh bekas kekasih demi membuktikan cinta kepada kekasih barunya.

Daily Mirror melaporkan suspek, Aleksey Petrov, 20, dan teman wanitanya Yekaterina Karpova, 20, mengajak bekas kekasih lelaki itu, Anastasia untuk berhibur pada 14 Jun lalu.

Pasangan kekasih itu kemudian mengajak mangsa ke kawasan hutan untuk pesta unggun api dan mereka minum minuman keras.

Suspek kemudian dikatakan mengeluarkan pisau yang disorok di dalam poketnya sebelum menikam mangsa.

Media tempatan melaporkan lelaki itu menikam leher mangsa beberapa kali.

Terkejut dengan tindakan bekas teman lelakinya itu, Anastasia sempat melawan sebelum cuba melarikan diri.

Dalam keadaan berlumuran darah, mangsa sempat menghubungi rakannya bagi mendapatkan bantuan.

"Tolong aku! Aku berada di dalam hutan! Mereka mengejarku. Leherku terluka. Mereka akan segera membunuhku," jerit Anastasia.

Namun, rakannya menyangka wanita itu bergurau kerana mabuk.

Walaupun cuba untuk bersembunyi, suspek bagaimanapun berjaya mengesan mangsa sebelum menamatkan riwayat wanita itu.

Selepas kejadian, suspek menyembunyikan mayat mangsa sebelum melaporkan kehilangan wanita berkenaan.

Bagaimanapun, polis kemudian menemui mayat Anastasia sebelum Petrov dan Karpova ditahan untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Jun 2020 @ 10:41 AM