Gambar hiasan
Gambar hiasan
Reuters

WASHINGTON: American Airlines Inc (American) menggantung semua penerbangan dari Amerika Syarikat (AS) ke Milan.

Perkara itu diumumkan syarikat itu beberapa jam selepas Jabatan Negara AS meningkatkan tahap amaran perjalanan sebahagian kawasan Itali susulan wabak koronavirus baharu (Covid-19), semalam.

Itali menjadi negara Eropah paling teruk terkesan dengan wabak itu, apabila lebih 1,100 kes dikesan dengan 29 kematian. Wabak di negara itu mula tercetus minggu lalu kira-kira 60 kilometer dari Milan, pusat kewangan Itali di utara negara itu.

American memaklumkan akan menggantung penerbangan ke Milan sehingga 24 April berikutan penurunan permintaan.

Trump semalam meningkatkan amaran perjalanan ke ‘Tahap 4 - Dilarang Melakukan Perjalanan’ ke Lombardy dan Veneto di Itali kerana pelaksanaan prosedur kuarantin tempatan.

Syarikat penerbangan itu akan terus beroperasi dengan satu penerbangan sehari ke Itali, antara Philadelphia dan Roma bagi kedua-dua hala. American dijadualkan menyambung perkhidmatan bermusim ke Venice pada Mei.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Mac 2020 @ 11:24 AM