FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
AFP

Cox Bazar: Pihak keselamatan Bangladesh berjaya menumpaskan cubaan menyeludup masuk 22 pelarian Rohingya ke Malaysia yang menaiki bot kecil berhampiran sempadan Myanmar semalam.

Menurut pihak berkuasa, pelarian membabitkan 11 wanita, 10 kanak-kanak serta seorang lelaki itu ditemui di sebuah perkampungan di Teluk Bengal.

Bagaimanapun, penyeludup sempat melarikan diri sebelum pihak berkuasa tiba.

Ketua Pengawal Sempadan Bangladesh (BGB) bandar Teknaf, Leftenan Kolonel Asadud Zaman Chowdhury berkata, pihaknya percaya kebanyakan wanita muda yang cuba diseludup itu akan dipaksa melakukan pelacuran.

“Penyeludup cuba mengambil kesempatan ke atas pelarian ini,” katanya.

Seorang lagi pegawai BGB berkata, semua 22 pelarian itu dipercayai membayar sebanyak AS $1,200 (RM4,886) kepada penyeludup untuk menaiki bot berkenaan.

Ia adalah kali keempat pihak berkuasa mematahkan usaha menyeludup keluar pelarian Rohingya ke Malaysia sejak November lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 9:15 PM