PAUL POGBA
PAUL POGBA
AFP

TWITTER bersetuju untuk berjumpa dengan wakil kelab Manchester United dalam usaha menyekat lebih banyak kecaman berbaur perkauman dalam platform media sosial.

Pegawai eksekutif United bersedia bertemu dengan Twitter selepas pemain tengah dari Perancis, Paul Pogba menjadi mangsa kecaman susulan kegagalannya menjaringkan penalti ketika seri 1-1 dengan Wolverhampton, awal pagi semalam.

Rakan sepasukannya Harry Maguire menggesa Twitter dan Instagram supaya lebih proaktif dalam menyekat kecaman sebegitu.

Pengurus pasukan bola sepak wanita England, Phil Neville berkata, pemain bola sepak patut memboikot media sosial.

Pogba menjadi pemain bola sepak ketiga menjadi mangsa kecaman berbaur perkauman dalam tempoh seminggu kerana mensia-siakan sepakan penalti – selepas penyerang Chelsea, Tammy Abraham dan pemain pasukan divisyen dua, Yakou Meite dari Reading.

“Dalam beberapa minggu akan datang, wakil Twitter akan bertemu dengan Manchester United, Kick It Out (pertubuhan anti-diskriminasi dalam bola sepak) dan badan lain yang berminat mengenai tindakan proaktif Twitter untuk menangani kecaman dalam talian terhadap pemain bola sepak di Britain,” menurut Twitter dalam satu kenyataan.

“Kami sering mengadakan dialog terbuka dan sihat bersama rakan dalam bidang ini, tapi kami sedar kami perlu melakukan lebih lagi bagi melindungi pengguna kami. Sikap perkauman tiada tempat dalam platform kami dan kami amat mengutuknya.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Ogos 2019 @ 12:32 AM