CARRIE meninggalkan dewan. FOTO AFP
CARRIE meninggalkan dewan. FOTO AFP
Agensi

HONG KONG: Ketua Eksekutif Hong Kong, Carrie Lam, terpaksa menghentikan ucapan dasarnya ketika persidangan legislatif selepas diejek dan dicemuh ahli Parlimen pembangkang.

Tindakan penggubal undang-undang prodemokrasi itu menyebabkan Carrie terus terburu-buru meninggalkan persidangan berkenaan dan mengabaikan ucapan yang dilihat sebagai usaha pujukan selepas empat bulan protes anti-Beijing yang menyelubungi bandar berkenaan.

Ia kali pertama seorang pemimpin Hong Kong tidak dapat menyampaikan ucapan tahunan itu secara peribadi sejak amalan berkenaan dimulakan pada 1948.

Susulan itu, Carrie menyiarkan video yang mengumumkan rancangannya mengenai beberapa inisiatif hartanah di bandar itu yang terkenal mempunyai pasaran termahal dunia, selain pelbagai subsidi.

AHLI Parlimen prodemokrasi, Lam Cheuk-ting berdiri atas meja memprotes sebelum Carrie meninggalkan dewan. FOTO AFP
AHLI Parlimen prodemokrasi, Lam Cheuk-ting berdiri atas meja memprotes sebelum Carrie meninggalkan dewan. FOTO AFP

Carrie yang kini mengalami kekurangan sokongan terburuk dalam sejarah, dua kali cuba memulakan ucapannya dalam persidangan dewan yang memulakan sesi baru, kira-kira tiga bulan selepas diserbu dan dirosakkan penunjuk perasaan bertopeng.

Malangnya, protes lantang ahli Parlimen prodemokrasi - golongan minoriti dalam sidang berkenaan - menggagalkan usahanya itu.

Malah mesin projektor digunakan untuk menyiarkan slogan protes di belakang Carrie ketika dia berdiri di podium selain ada antara mereka memakai topeng muka Presiden China Xi Jinping.

Sementara itu, ahli Parlimen prodemokrasi Tanya Chan berkata: “Terlalu banyak berlaku di jalanan Hong Kong sejak empat bulan lalu, tetapi Lam sama ada duduk bawah tempurung atau sekadar menjadi boneka (China).”

Ahli Parlimen pro-Beijing, Regina Ip bagaimanapun mengkritik tindakan golongan prodemokrasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Oktober 2019 @ 7:17 AM