ORANG ramai membawa keranda Mohammed Omar, bayi sembilan bulan yang terbunuh kelmarin di Akcakale berhampiran sempadan Syria, di Sanliurfa, Turki. FOTO EPA
ORANG ramai membawa keranda Mohammed Omar, bayi sembilan bulan yang terbunuh kelmarin di Akcakale berhampiran sempadan Syria, di Sanliurfa, Turki. FOTO EPA
AFP

BEIRUT: Tujuh orang awam terbunuh akibat serangan udara dan tembakan penembak hendap di timur laut Syria, semalam, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria (SOHR).

Menurut SOHR, empat orang terbunuh dalam serangan udara di Tal Abyad manakala tiga mangsa lagi mati ditembak penembak hendap di sekitar pekan di sempadan dengan Turki itu.

SOHR mendakwa 17 orang awam terbunuh sejak serangan bermula minggu lalu, manakala 41 pejuang Kurdis turut dilaporkan maut.

Sumber tentera Kurdis dan SOHR mendakwa beberapa keluarga Arab di sempadan memihak dengan Turki dan mewujudkan pasukan yang menyerang anggota Pasukan Demokratik Syria (SDF) dari belakang barisan pertempurannya.

Tujuh orang awam termasuk seorang bayi berusia sembilan bulan turut terbunuh di pekan Turki yang bersempadan Syria, manakala hampir 70 orang cedera.

Ras al-Ain, Tal Abyad dan pekan lain di sempadan kini kosong selepas penduduknya melarikan diri.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan 70,000 orang keseluruhannya melarikan diri dan kini dipercayai menuju timur ke arah bandar Hasakeh yang belum disasarkan Turki.

Operasi ketiga seumpamanya dilancarkan Turki sejak perang meletus di Syria dikecam hebat negara dunia, termasuk sekutu Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang menganggapnya mengkhianati golongan Kurdis sebagai rakan setia yang memainkan peranan penting dalam operasi darat pakatan tenteranya selama bertahun-tahun menentang Daish.

Trump dilihat mencetuskan serangan itu selepas mengarahkan penarikan semula tenteranya di sempadan, awal minggu lalu. Susulan itu, dia berkata Washington akan berusaha merundingkan gencatan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Oktober 2019 @ 7:42 AM