Barisan pelakon pada majlis pelancaran filem Bulan dan Pria terhebat di Nicsmann 1940s by Lewre di The Starling Mall, Petaling Jaya. FOTO ASWADI ALIAS
Barisan pelakon pada majlis pelancaran filem Bulan dan Pria terhebat di Nicsmann 1940s by Lewre di The Starling Mall, Petaling Jaya. FOTO ASWADI ALIAS
Georgie Joseph


DEMI memberikan yang terbaik kepada penonton, penerbit filem Bulan & Pria Terhebat (BPT) memantau pergerakan operasi normal baharu panggung wayang termasuk penjualan tiket sebelum menayangkannya.

Ketua Pegawai Eksekutif Nizra Entertainment selaku penerbitnya, Nik Iruwan Nik Izani berkata, pihaknya masih belum bersedia untuk menyambung tayangan filem itu yang ditangguhkan sejak Mac lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bukan masa yang sesuai lagi untuk kami tayangan kembali BPT di panggung wayang. Kami dan Skop Productions ada berbincang mengenai perkara itu.

"Kami sepakat untuk terus memantau pergerakan operasi termasuklah pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di panggung wayang. Begitu juga dengan penjualan tiket yang mana turut kami pantau selain kehadiran penonton ke panggung wayang.

"Filem BPT adalah sesuatu yang sangat besar untuk kami kongsikan dengan penonton. Pelan tayangannya di panggung wayang tetap akan diteruskan, namun kami mahu mencari masa yang tepat untuk penonton menikmatinya dengan lebih selesa nanti," katanya.

POSTER filem Bulan & Pria Terhebat (BPT).
POSTER filem Bulan & Pria Terhebat (BPT).

Terdahulu, penerbit akur tayangan filem itu dihentikan walaupun ia sudah mula ditayangkan pada 12 Mac lalu. Mereka turut menunggu penetapan tarikh baru wajib tayang untuk BPT disebabkan masih banyak filem lain yang turut ditangguh menunggu giliran untuk ditayangkan.

Filem arahan Ghaz Abu Bakar itu pada awalnya tetap meneruskan tayangan mengikut jadual asal pada 12 Mac lalu di 146 pawagam seluruh negara, Singapura dan Brunei.

BPT dibintangi Zahirah MacWilson, Zizan Razak, Maya Karin, Khir Rahman, Bell Ngasri, Didie Alias, Rashidi Ishak, Alif Hadi, Mimi Ernida, Aprena Manrose, Marissa Yasmin, Sofia Dendroff, Sein Qudsi dan Yus Noor.

Filem yang menelan belanja RM4 itu adalah kerjasama sulung Nizra Entertainment, Astro Shaw dan Skop Productions.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 Julai 2020 @ 5:05 PM