LUKISAN Cimabue yang ditemui di rumah seorang wanita di Perancis.
LUKISAN Cimabue yang ditemui di rumah seorang wanita di Perancis.
Agensi

PARIS: Seorang wanita tidak menyangka sebuah lukisan yang digantung di dapur rumahnya di Compiegne, Perancis sebenarnya karya zaman Rennaissance yang dianggarkan bernilai 5 juta paun (RM26 juta).

Daily Mail melaporkan, lukisan Christ Mocked dihasilkan pelukis terkenal, Cimabue disimpan wanita terbabit sejak sekian lama sebelum dia membuat keputusan untuk membuat penilaian.

Pada mulanya, dia hanya menganggap karya agung itu sebagai lukisan biasa namun ia disahkan sebagai bahan sejarah yang dinilai pada harga antara 3 juta paun (RM15.6 juta) hingga 5 juta paun (RM26 juta).

Menurut pakar syarikat lelong Old Masters, Turquin berkata, wanita terbabit menggantung lukisan itu di dinding di atas ketuharnya.

Katanya, ujian yang dilakukan menggunakan lampu infra merah mengesahkan lukisan itu karya asli dihasilkan oleh individu sama.

Lukisan itu dijangka akan dilelong Acteon di Senlis, utara Paris pada 27 Oktober depan.

Christ Mocked adalah sebahagian daripada siri lapan lukisan yang dihasilkan sejak tahun 1280 mengenai penyaliban Nabi Isa.

Manakala dua daripada lukisan itu yang dilaporkan hilang sejak beberapa abad lalu berjaya ditemui seorang bangsawan Britain di Suffolk sebelum ia diserahkan pada tahun 2000 dan dipamerkan di Galeri Negara di London.

Karya dihasilkan pada zaman Rennaissance banyak dipengaruhi oleh seni Byzantine dan ciri-cirinya masih kelihatan pada karya seni pada masa kini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 September 2019 @ 11:30 AM