LUKISAN hasil karya pelukis terkenal Itali, Cimabue yang ditemui di dapur rumah seorang wanita tua di Perancis. FOTO Reuters
LUKISAN hasil karya pelukis terkenal Itali, Cimabue yang ditemui di dapur rumah seorang wanita tua di Perancis. FOTO Reuters
Agensi

PARIS: Lukisan lama yang ditemui tergantung di atas ketuhar dalam dapur rumah seorang wanita tua di Perancis berjaya dijual pada harga £20.7 juta (RM111.3 juta).

Lukisan itu yang ditemui awal tahun ini, disahkan karya pelukis Itali, Cimabue, yang dihasilkan pada kurun ke-13.

Daily Mail melaporkan, menurut firma Lelongan Dominique Le Coent of Acteon, lukisan bertajuk Christ Mocked berukuran 24 sentimeter tinggi dan 20 sentimeter lebar itu dibeli seorang pengumpul yang enggan dikenali.

Harga itu juga dianggap sebagai rekod dunia untuk lukisan Cimabue kerana belum ada hasil karya pelukis itu dijual sebelum ini.

Seorang pelelong ternampak lukisan itu pada Jun lalu ketika memeriksa rumah wanita berkenaan di Compiegne, utara Perancis, sebelum mencadangkan ia dibawa kepada pakar untuk dinilai.

Lukisan itu tergantung antara dapur dan ruang makan serta dianggap sebagai lukisan biasa oleh pemiliknya.

Menurut firma lelongan berkenaan, pemilik lukisan itu akan menerima majoriti wang hasil lelongan berkenaan.

Cimabue adalah guru pelukis terkenal Itali, Giotto, dan dia juga dianggap pengasas seni zaman Renaissance negara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 12:08 PM