FOTO hiasan
FOTO hiasan
AFP

WASHINGTON: Nombor telefon yang berhubung dengan lebih 400 juta akaun Facebook di seluruh dunia didedahkan di dalam talian, kebocoran peribadi terbaru gergasi media sosial berkenaan, lapor media Amerika Syarikat semalam.

Portal berita teknologi melaporkan, satu pelayan yang terdedah menyimpan kira-kira 419 juta rekod pengguna di beberapa pangkalan termasuk 133 juta akaun di AS, lebih 50 juta di Vietnam dan 18 juta di Britain.

Pangkalan data itu ,menyenaraikan pengenalan atau ID pengguna Facebook iatu digit unik pada setiap akaun, nombor telefon profil, jantina dan juga lokasi.

Pelayan itu tidak dilindungi kata laluan, bermakna sesiapa sahaja boleh mengakses pangkalan data itu dan ia berada di dalam talian hingga lewat semalam sebelum TechCrunch menghubungi hos laman berkenaan.

Facebook mengesahkan sebahagian daripada laporan itu tetapi menyatakan jumlah akaun yang terjejas adalah separuh daripada 419 juta yang dilaporkan.

Tambah Facebook, kebanyakan data itu berulang-ulang dan ia juga data lama.

“Set data itu sudah ditutup dan kami tidak menemui bukti menunjukkan akaun Facebook diceroboh,” kata jurucakap Facebook kepada AFP.

Kebocoran data seperti nombor telefon itu mendedahkan pengguna kepada penipuan.

Facebook pada 2018 terpalit dengan skandal Cambridge Analytica apabila syarikat itu menggunakan kelemahan keselamatan laman sosial itu untuk mengakses jutaan maklumat peribadi pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 4:30 PM