FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
AFP

BRASILIA: Brazil saman Facebook sebanyak AS$1.65 juta (RM6.75 juta) kerana berkongsi data pengguna dalam kes yang dikaitkan dengan skandal Cambridge Analytica.

Kementerian Keadilan dalam satu kenyataan berkata Facebook membenarkan pemaju aplikasi This is Your Digital Life memperoleh data 443,000 pengguna di negara itu.

Aplikasi kaji selidik psikologi itu didapati mengumpul data peribadi beberapa juta pengguna Facebook di seluruh dunia dan menyalurkannya kepada perunding British, Cambridge Analytica untuk digunakan tanpa kebenaran dalam kempen politik.

Pihak berkuasa Brazil mula melakukan siasatan selepas menerima laporan pengguna Facebook di negara itu mungkin antara mangsa penyalahgunaan data.

Tahun lalu, Facebook menganggarkan data 87 juta pengguna didedahkan kepada Cambridge Analytica.

Namun, Facebook dalam satu kenyataan semalam berkata tiada bukti data pengguna di Brazil diberikan kepada pemaju itu.

Facebook diberikan tempoh 10 hari untuk membuat rayuan dan sebulan untuk membayar saman.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Disember 2019 @ 10:40 AM