PETUGAS pilihan raya Turki menyediakan kertas undi di sebuah pusat mengundi di Istanbul, semalam. - EPA
PETUGAS pilihan raya Turki menyediakan kertas undi di sebuah pusat mengundi di Istanbul, semalam. - EPA
Agensi

Istanbul: Rakyat Turki keluar mengundi semalam, untuk pilihan raya Parlimen dan presiden yang dianggap ujian sukar kepada Presiden Recep Tayyip Erdogan ketika popularitinya merosot akibat masalah ekonomi.

Erdogan membawa perubahan bersejarah di Turki sejak parti pemerintah berasaskan Islam pimpinannya berkuasa pada 2002 selepas bertahun negara itu dikuasai pentadbiran sekular.

Namun, pengkritik menuduh pemimpin tegar Turki berusia 64 tahun itu mengekang kebebasan awam serta bersikap autokratik.

Pusat mengundi dibuka mulai jam 8 pagi dan ditutup pada jam 5 petang. Lebih 56 juta pengundi layak mengundi.

Erdogan berharap memperoleh majoriti keseluruhan untuk Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) pimpinanannya, namun mungkin sukar berikutan peningkatan populariti parti sekular, Parti Rakyat Republikan (CHP) pimpinan, Muharrem Ince.

Ince berjanji menamatkan pemerintahan kuku besi Erdogan di negara dengan 81 juta penduduk itu.

“Jika Erdogan menang, telefon anda akan terus didengar. Ketakutan akan terus melingkari. Jika Ince menang, mahkamah akan bebas,” kata Ince membuat janji akan menarik balik perintah darurat dalam tempoh 48 jam selepas dipilih.

Erdogan bagaimanapun, tetap menjadi pilihan mengekalkan jawatan presiden walaupun memerlukan pusingan kedua yang dijangka 8 Julai ini.

“Jika tuah menyebelahi penyandang, saingan kali ini jauh lebih sengit berbanding yang dijangka,” kata penganalisis di Institut Diraja Elcano dan Prof Adjung di Universiti Carloss II di Madrid, Sepanyol, Ilke Toygur. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Jun 2018 @ 9:19 AM