TENTERA Sudan berkawal di Khartoum. FOTO AFP
TENTERA Sudan berkawal di Khartoum. FOTO AFP
AFP

KHARTOUM: Empat lagi terbunuh di Sudan semalam ketika penunjuk perasaan meneruskan kempen ‘penentangan sivil’ terhadap tentera susulan tindakan keras mereka ke atas pembangkang yang enggan berganjak kerana mendesak pemerintahan awam.

Kempen itu berlarutan hampir seminggu selepas serangan ke atas penunjuk perasaan yang enggan berganjak dari ibu pejabat tentera di tengah Khartoum.

Ia disusuli rundingan di antara pemimpin pembangkang dan pemerintah tentera membincangkan sama ada orang awam atau tentera layak sebagai pentadbir kerajaan baharu.

Penunjuk perasaan menyekat jalan raya di Khartoum manakala pasar dan premis perniagaan ditutup di beberapa bandar dan kota lain.

Jawatankuasa doktor yang dikaitkan dengan penunjuk perasaan berkata dua terbunuh di Khartoum manakala dua lagi di bandar berkembar Omdurman berhampiran Sungai Nil.

Jawatankuasa Pusat Doktor-Doktor Sudan menyalahkan pihak keselamatan yang menyokong majlis tentera mengakibatkan kematian 118 orang sejak 3 Jun lalu ketika menyuraikan penunjuk perasaan di luar ibu pejabat tentera.

Bantahan berpunca daripada kenaikan tiga kali ganda harga roti mencetus protes besar-besaran terhadap Presiden Omar al-Bashir Disember lalu dan pemerintahan kuku besinya.

Selepas digulingkan April lalu, penunjuk perasaan masih berkhemah selama beberapa minggu di Khartoum mendesak pemimpin tentera untuk memulakan peralihan kuasa.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2019 @ 1:21 PM