ORANG ramai melaungkan slogan ketika membantah di luar ibu pejabat tentera di Khartoum. FOTO AFP
ORANG ramai melaungkan slogan ketika membantah di luar ibu pejabat tentera di Khartoum. FOTO AFP
Agensi

KHARTOUM: Bekas presiden Sudan, Omar al-Bashir didakwa atas tuduhan ‘menghasut dan terbabit’ dalam pembunuhan penunjuk perasaan ketika protes besar-besaran yang berakhir dengan penggulingannya, selepas pasukan keselamatan dilaporkan menembak peluru hidup terhadap orang ramai.

Sekurang-kurangnya 10 orang cedera ditembak pada lewat Isnin ketika mogok duduk di ibu negara, Khartoum. Doktor tempatan berkata, beberapa mangsa cedera serius, lapor Al Jazeera.

Tembakan juga dapat didengar berhampiran pusat bandar Khartoum selepas anggota keselamatan dan paramilitari bertempur dengan penunjuk perasaan yang menghalang lalu lintas.

Pendakwa raya pada Isnin lalu mengumumkan pendakwaan Omar, tetapi tidak memberikan butiran lanjut.

“Omar dan beberapa yang lain didakwa menghasut dan terbabit dalam pembunuhan penunjuk perasaan,” kata pejabat itu.

Awal bulan ini, pendakwa raya mengarahkan Omar disoal siasat atas tuduhan pengubahan wang haram dan membiayai keganasan. Menurut pendakwa, antara mangsanya adalah Babiker Abdul Hameed, doktor berusia 27 tahun pada 19 Januari lalu yang terbunuh ketika memberikan bantuan perubatan kepada penunjuk perasaan.

OMAR. FOTO AFP
OMAR. FOTO AFP

Omar tidak pernah memberi komen sejak digulingkan dan ditahan pada 11 April lalu. Bekas presiden itu dilaporkan kini ditahan di penjara kawalan ketat, Kobar di Khartoum.

Orang ramai berhimpun di luar ibu pejabat tentera di pusat bandar Khartoum dengan berazam memaksa majlis tentera yang menggantikan Omar supaya mengundur.

Menurut Reuters, penunjuk perasaan mahukan penyerahan kuasa kepada rakyat dengan segera, malah mengadakan demonstrasi termasuk satu yang berlanjutan lebih sebulan di luar kementerian pertahanan.

Majlis Tentera Sementara (TMC) menyalahkan kumpulan tertentu yang mahu mensabotaj perbincangan.

Jurucakap majlis, Leftenan Jeneral Shams al-Din Kabashi berkata, semua jeneral menemui pemimpin protes pada Isnin lalu dan mempersetujui struktur badan pentadbiran sementara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Mei 2019 @ 7:34 AM