TRAK pikap dilengkapi mesingan ditempatkan di seluruh ibu kota. FOTO AFP
TRAK pikap dilengkapi mesingan ditempatkan di seluruh ibu kota. FOTO AFP

KHARTOUM: Jumlah mangsa yang maut ketika tentera Sudan cuba meleraikan tunjuk perasaan duduk di luar ibu pejabat tentera di sini, kini meningkat kepada 13 orang.

Menurut AFP, pasukan keselamatan yang lengkap bersenjata menaiki trak pikap dilengkapi mesingan ditempatkan di seluruh ibu kota sementara bunyi tembakan masih kedengaran di kawasan tunjuk perasaan.

Amerika Syarikat (AS) dan Britain menyeru supaya tindakan ganas terhadap penunjuk perasaan dihentikan terhadap mereka yang mahu jeneral yang menjadi dalang menggulingkan Presiden Omar al-Bashir diserahkan kepada pentadbiran awam.

Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan dalam kenyataannya di Facebook berkata, angka kematian itu meningkat kepada 13 orang.

Ia turut melaporkan bahawa terdapat sebahagian besar mengalami cedera parah dan menggesa perhatian segera daripada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa serta pertubuhan kemanusiaan lain untuk menghulurkan bantuan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Jun 2019 @ 9:57 PM