Hafiz Ithnin


SIFAT ingin tahu wanita berusia 37 tahun ini untuk menghasilkan kek jeli tiga dimensi (3D) tidak disangka ia menjadi satu titik tolak untuknya yang bukan sahaja sanggup melepaskan jawatan sebagai eksekutif akaun, malah menjadi usahawan dan 'guru' pembuatan makanan berkenaan.

Bagi Sumayah Muhamad Hussain, dia sedikit pun tidak merasa menyesal meninggalkan kerjaya itu hasil selepas menuntut di universiti di dalam bidang perakaunan selama empat tahun kerana minatnya di dalam kek jeli 3D memberi banyak kepuasan kepada dirinya.

Jelas anak kelahiran Klang di Selangor itu, minatnya untuk membuat kek itu berputik apabila melihat video di media sosial. Lalu, pada awal 2016 dia mencari seorang guru warga Vietnam yang menetap di Malaysia untuk mempelajari pembuatan kek jeli tiga dimensi.

"Sifat ingin tahu saya itu berputik kerana untuk menghasilkan corak menarik di dalam kek itu yang amat unik. Dekorasi di dalamnya dibuat secara terbalik dan kita perlu mempunyai teknik yang betul bagi mendapatkan corak diinginkan.

"Bagi mereka yang kali pertama atau masih pemula, pastinya akan merasa ragu-ragu sama ada corak yang diinginkan itu dapat dihasilkan atau tidak kerana kita tidak nampak ketika proses suntikan warna. Sebaik sahaja diterbalikkan, baru kita akan dapat melihat hasilnya," katanya.

Katanya, ketika kali pertama dia mempelajari cara membuat kek jeli 3D, sedikit pun tidak terlintas untuk mengambil tempahan kerana hanya ingin 'menjawab persoalan' cara kek itu dapat dihasilkan dengan cantik.

"Segala-galanya bermula pada penghujung 2016, ketika itu sepupu saya mengadakan majlis perkahwinan dan saya bercadang untuk memberikan hadiah kek jeli 3D ini.

"Hasilnya tidaklah secantik mana tetapi adalah rupanya. Namun, selepas itu saya semakin berminat untuk mempraktikkan dan mula mendapat tempahan pertama. Dahulu, sehari hanya mampu menyiapkan satu kek sahaja," katanya.

PROSES memasukkan warna untuk dijadikan dekorasi di dalam kek yang berbentuk 3D.
PROSES memasukkan warna untuk dijadikan dekorasi di dalam kek yang berbentuk 3D.

Katanya, hasil daripada latihan setiap hari kemahirannya mula tajam untuk menghasilkan pelbagai dekorasi dan tempahan juga dapat disiapkan pada jangka masa yang cepat.

"Selepas itu, bagi satu kek jeli 3D yang hanya memerlukan dekorasi bunga sahaja saya mampu menyiapkan dalam tempoh 30 minit sahaja. Jadi, bagi saya ia adalah kemahiran yang perlu dipraktikkan.

"Jumlah tempahan juga semakin meningkat dari masa ke masa sehingga pada 2017 saya mula mendapat permintaan untuk mengajar orang lain pula membuat kek jeli 3D ini," katanya.

Sumayah berkata, selain bunga terdapat dekorasi yang lain dapat dibuat menerusi teknik suntikan di dalam jeli berkenaan antaranya pemandangan dan watak animasi.

(KANAN) Sumayah bersama suami yang bersama-sama mengusahakan perniagaan kek jeli 3D.
(KANAN) Sumayah bersama suami yang bersama-sama mengusahakan perniagaan kek jeli 3D.

"Sebenarnya untuk dekorasi di dalam kek jeli ini tidak terhad kepada bunga sahaja kerana terdapat pelanggan yang inginkan sesuatu yang kena dengan cita rasa mereka. Jadi, sebagai pembuat kek jeli 3D ini saya perlu menerokai cara bagi menghasilkannya.

"Kadang kala agak sukar untuk menghasilkan sesuatu yang baharu tetapi saya perlu berlatih supaya rupa bentuk yang diinginkan itu dapat diterjemahkan di dalam kek berkenaan," katanya.

Katanya, bagi memudahkan dekorasi 3D selain bunga, pemandangan dan watak kartun kebiasaannya dia akan mencetak dahulu gambar berkenaan bagi memudahkan proses 'melukis' di dalam kek jeli itu.

"Dari segi harga juga berbeza bagi dekorasi bunga dengan sesuatu yang lebih eksklusif diinginkan pelanggan. Lebih rumit harganya tentulah lebih tinggi berbanding dekorasi bunga biasa saya tawarkan.

"Perkara ini kerana bagi menghasilkan sesuatu yang rumit, dia juga perlu mengambil masa untuk menghasilkan seni dekorasi kek berkenaan dan kadang kala perlu dilakukan beberapa kali bagi mendapatkan hasil diinginkan terutama jika membabitkan dekorasi yang kompleks," katanya.

CORAK bunga berbentuk 3D di dalam kek jeli 3D yang dihasilkan Sumayah.
CORAK bunga berbentuk 3D di dalam kek jeli 3D yang dihasilkan Sumayah.

Ditanya mengenai tindakannya meninggalkan kerjaya sebagai eksekutif akaun dan beralih kepada bidang usahawan jawabnya, dia tidak merasakan keputusan berhenti di dalam kerjaya itu sebagai sesuatu yang ralat.

"Jika saya masih di dalam kerjaya itu mungkin pada hari ini saya sudah bergelar seorang akauntan. Namun, bagi saya dunia perakaunan itu sebenarnya amat bagus untuk seorang usahawan seperti saya kerana boleh dipraktikkan sendiri.

"Saya tahu selok belok mengenai aliran kewangan dan berkaitan dengannya. Jadi, tidak langsung berasa ralat. Apatah lagi, apabila menjadi usahawan ini kita mempunyai masa sendiri dan perlu bijak menguruskannya," katanya.

Katanya, pengalaman paling menarik pastinya apabila dia disunting menjadi penyumbang kandungan kepada sebuah media antarabangsa mengenai kek jeli 3D dan ia adalah kandungan berbayar.

"Saya juga mendapat sokongan daripada suami yang juga sama-sama mengusahakan perniagaan ini tetapi dia lebih kepada kandungan kreatif dan juga pemasaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 7:01 AM