FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Oleh Deputi Superintendan Dr Mohd Roslan Mohd Tahir

Hidup ini tidak selamanya senang dan bahagia. Setiap manusia pasti pernah merasai susah dalam menjalani hidup. Tentu saja, hidup susah adalah hidup yang tidak membahagiakan.

Tapi, bagaimana jika hidup ini selalu susah? Tanpa kita sedari, hidup selalu susah yang dialami selama ini boleh berlaku disebabkan perbuatan atau kesilapan kita sendiri. Apa penyebab hidup selalu susah? Apa hal kecil yang membuat hidup bertambah susah? Bagaimana cara untuk berhenti daripada hidup selalu susah?

Penyebab hidup selalu susah berpunca daripada:

n Tidak memiliki tujuan jelas. Hidup harus memiliki tujuan. Jika kita hidup tidak memiliki tujuan, kita kehilangan arah dalam menjalani hidup. Ketika hidup tidak memiliki tujuan jelas, sebenarnya kita tidak tahu apa yang sebenarnya kata inginkan dalam hidup ini.

Penyebabnya adalah kita tidak memiliki tujuan atau impian nyata yang hendak kita perjuangkan. Hidup ini selalu dinamik, dalam hidup kita akan menemui ketidakselesaan, merasa ada sesuatu yang hilang dan merasakan ada kebuntuan.

n Tidak ada sokongan daripada orang lain. Selain tidak memiliki tujuan jelas, tidak ada sokongan dan dorongan daripada orang lain turut menjadi penyebab kenapa hidup selalu susah. Bantuan yang cukup daripada orang lain akan mempermudah kita dalam menghadapi rintangan dan tentangan dalam hidup.

Realiti hidup, ramai individu berjuang untuk dirinya sendiri dalam menyelesaikan masalah demi masalah. Padahal, sebagai makhluk sosial kita semestinya perlu mencari atau mendapat sokongan dan dorongan setidak-tidaknya perspektif baharu, cadangan atau dorongan daripada orang lain.

Bentuk sokongan ini sangat perlu, contohnya apakah orang lain di sekitar kita bersedia menjadi penasihat atau semacam mentor dalam menghadapi rintangan dan tentangan yang ada? Saranan dan pendapat orang lain tidak semestinya benar, namun tidak salah kita pertimbangkan untuk inspirasi diri dan motivasi bagi apa yang kita perjuangkan.

Kadang-kadang, semuanya itu adalah sumber inspirasi dan motivasi yang baik. Jika kita memiliki aura positif terhadap nasihat dan pandangan orang, sokongan itu akan mengharmonikan hidup kita dengan terlepas beban masalah yang kita hadapi nanti.

n Keliru dalam mengejar tujuan. Hidup selalu susah barangkali kerana kita tidak merefleksikan hidup yang selama ini dijalani. Kadang-kadang hidup ini susah kerana kita keliru atau bahkan salah dalam mengejar tujuan. Dewasa ini, dunia bergerak semakin pesat dan teknologi berkembang semakin canggih.

Kehadiran media sosial menyebabkan impak positif dan impak negatif dalam hidup. Kita mudah tergoda membandingkan hidup kita dengan kehidupan orang lain. Contohnya, melihat rakan melancong ke luar negara dengan gambar menarik, makan-makan serta berhibur di tempat ternama, sedangkan kita terkial-kial mencari sesuap nasi.

Perasan iri hati dan dengki itu pasti timbul dan menyalahkan diri kenapa hidup aku susah sedangkan rakan sudah kaya dan berjaya. Contoh senang difahami, di saat rakan kita sudah berkahwin, kita masih mengumpul wang untuk itu.

Perbandingan itu membuatkan kita berduka apabila memikirkannya. Jadi, senang cerita jangan bandingkan hidup kita dengan orang lain, nikmati saat indah dalam perjalanan hidup kita sendiri atau 'nikmati saat ini dengan cara kita.'

Ada beberapa perkara kecil lain yang membuatkan hidup kita bertambah susah. Perkara itu mungkin nampak tidak membebankan hidup, tetapi sebenarnya menambah lagi kepayahan dalam hidup.

n Rasa khuatir atau was-was. Semua orang tentu mengalami rasa khuatir dan was-was. Tapi, apakah kita pernah mencuba untuk mengawal rasa khuatir dan was-was dalam diri? Khuatir dan was-was akan menyebabkan diri kita menjadi terbeban dan secara tidak langsung terikat.

Jadi, kita perlu meminimumkan kegelisahan dan ketakutan. Kita sudah mempunyai masalah dan kesukaran sendiri, jadi apabila dibayangi khuatir dan was-was, kita akan menambahkan lagi kesulitan sedia ada.

n Minta semua orang mendengar kata-kata kita. Mana mungkin kita hendak semua orang mengikuti kemahuan kita kerana setiap orang mempunyai selera dan cita rasa berbeza.

Kena ada titik persefahaman barulah sesebuah perhubungan kekal harmoni dan berterusan, jika kita bersifat autokratik dalam memilih lagu, misalnya orang yang minat lagu Korea tidak minat lagu Hindustan. Begitu sebaliknya untuk tujuan yang lain juga, kena ada titik persefahaman dalam memilih sesuatu dan jangan sesekali memaksa supaya orang lain ikut kemahuan kita kerana lama-lama kita ditinggalkan.

n Membandingkan diri dengan orang lain. Di dunia ini, selalu ada yang lebih tinggi daripada kita. Ketika kita membandingkan hidup kita dengan orang lain, justeru hanya akan membuat kita terseksa dan lelah. Kita perlu menerima realiti bahawa tidak ada yang sempurna di dunia ini.
n Tidak rasa bahagia selalu. Meskipun sebahagian besar cita-cita kita tidak kesampaian atau masih begelumang mengejar cita-cita, nikmati saat sekarang dan jangan sesekali memikirkan kepayahan masa lalu dan akan datang. Enjoy dan nikmati saat yang kamu ada sekarang kerana jika kamu terlalu memikirkan kesusahan akan datang, ia membuatkan kamu berserabut dan tidak mahu menempuhinya nanti.
n Terlalu bersendirian. Jika kita suka menyendiri dan mengabaikan msayarakat, rakan atau keluarga, lama-kelamaan akan timbul bisikan negatif daripada pemikiran kita yang meminta supaya membuat sesuatu yang tidak baik.
n Fokus kepada duniawi sahaja. Ramai antara kita hanya fokus dalam kehidupan mencari kebendaan atau mencari duit tanpa memikirkan kesihatan, keluarga dan lainnya. Akibatnya, kita terperangkap mengejar kebendaan yang tidak menjamin kebahagiaan hidup.

Penulis Timbalan Ketua Polis Daerah IPD Seri Alam, Johor

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 6:31 AM