SITI Soraya Lin bersama murid tabika.
SITI Soraya Lin bersama murid tabika.
Nurul Husna Mahmud


Dianggarkan kira-kira 175,304 (13 peratus) kanak-kanak 'di hujung' usia sekolah rendah di Malaysia dilaporkan tidak mahir membaca.

Itu antara isu perlu ditangani membabitkan pendidikan yang mana sistem pembelajaran terkini mengetengahkan penguasaan dwibahasa bagi setiap murid.

Penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar perlu bermula seawal usia pembelajaran di peringkat prasekolah.

Ini bukan sahaja membantu murid mendapat pendedahan awal, tapi turut membantu mengurangkan kadar keciciran dalam kalangan mereka di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Justeru apa juga pendekatan yang dapat meningkatkan literasi bahasa Inggeris dalam kalangan murid prasekolah wajar dipergiatkan.

Ia termasuk inisiatif daripada Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang apabila menggunakan kaedah fonik (sebutan bunyi) dan keseluruhan perkataan (whole word) menggunakan bahan bercetak.

Ketua Projek, Dr Siti Soraya Lin Abdullah Kamal bersama tiga pengajar lain dan 10 penuntut yang juga sukarelawan melaksanakan projek pemerkasaan itu selama setahun sejak Mei 2023.

"Selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Kebangsaan 2013-2025, Kementerian Pendidikan Malaysia juga menekankan kepada penguasaan dwibahasa di kalangan murid.

"Malah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mengumumkan untuk memperkenalkan semula program Intervensi Literasi di sekolah pada 18 Mac lepas.

"Ia membabitkan program saringan untuk mengenal pasti murid yang menghadapi masalah membaca dan menulis dalam kalangan murid tahun satu.

"Justeru projek libat sama universiti bersama komuniti seperti program anjuran PJJ USM dirasakan wajar bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris murid khususnya kemahiran membaca mereka," katanya.

Kata Dr Siti Soraya Lin, projek itu dilaksanakan di Tabika Perpaduan Taman Mangga Bukit Mertajam, Pulau Pinang turut mendapat sokongan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang.

"Fokus dalam projek yang mendapat sokongan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Pulau Pinang itu, bukan hanya mahu peningkatan murid sahaja, malah pihak universiti turut memberi penekanan terhadap penyertaan ibu bapa dalam membantu anak mereka.

"Modul atau program dijalankan menggabungkan kaedah boleh diaplikasikan kepada murid dengan pembabitan ibu bapa," katanya.

Antara aktiviti dijalankan ialah permainan bahasa, menyanyi dan menari, mencari huruf dan perkataan tersembunyi, aktiviti seni dan kraf, lawatan sambil belajar ke pusat membeli belah, aktiviti membaca, menulis dan lain-lain lagi.

ANTARA tugasan diberikan.
ANTARA tugasan diberikan.

KAEDAH fonik.
KAEDAH fonik.

AKTIF penyertaan murid tabika.
AKTIF penyertaan murid tabika.

Tambah Siti Soraya Lin, murid tabika terbabit turut diberi pendedahan menerusi tontonan video mengenai topik tertentu yang dipilih daripada YouTube selain menerusi bahan cetakan di persekitaran seperti label makanan, papan tanda, menu di restoran dan lain-lain simbol serta perkataan di sekeliling mereka.

"Ibu bapa murid juga dijemput hadir ke sekolah untuk berkongsi peranan penting dalam projek pemerkasaan literasi bahasa Inggeris terbabit.

"Ibu bapa didedahkan dengan bahan-bahan bercetak dan digital yang boleh digunakan untuk membantu anak-anak membaca di rumah. Selain itu, ibu-bapa turut dijemput melakukan aktiviti bersama anak mereka di sekolah," katanya.

Sementara itu, guru tabika itu, Sasirekah Bala berkongsi mengenai impak daripada inisiatif pihak PJJ USM terbabit.

"Tidak dinafikan peningkatan penguasaan literasi bahasa Inggeris dalam kalangan kanak-kanak Tabika Perpaduan ketara.

"Kanak-kanak yang pada awalnya tidak mengenal huruf kini mampu mengenal huruf dan membaca perkataan mudah.

"Ada juga dalam kalangan anak murid sudah dapat membaca frasa dan teks ringkas dengan baik.

"Peningkatan minat dan motivasi dapat diketahui menerusi ekspresi dan pengakuan kanak-kanak terbabit.

"Mereka menunjukkan minat dan menyatakan kegembiraan dalam pembelajaran bahasa Inggeris melalui aktiviti interaktif seperti permainan bahasa, menyanyi, menari, lawatan dan aktiviti seni dan kraf," katanya.

Guru itu turut menambah terdapat juga perubahan positif dalam kalangan ibu bapa.

"Program ini berjaya membabitkan ibu bapa dalam proses pembelajaran anak-anak mereka.

"Ibu bapa kini lebih sedar pentingnya penglibatan mereka dan dilengkapi dengan panduan serta bahan dapat membantu anak-anak belajar di rumah," katanya.

Beliau mengakui program atau aktiviti diketengahkan pihak PJJ USM boleh digunakan guru yang mengajar terutama gabungan teknik fonik dan keseluruhan perkataan untuk membantu meningkatkan penguasaan literasi kanak-kanak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 7:02 AM