NARENDRA Modi ketika menghadiri majlis angkat sumpah sebagai Perdana Menteri India, pada Ahad. FOTO Reuters
NARENDRA Modi ketika menghadiri majlis angkat sumpah sebagai Perdana Menteri India, pada Ahad. FOTO Reuters
BERNAMA

New Delhi: Narendra Modi memulakan penggal ketiganya sebagai Perdana Menteri India pada Ahad selepas mengangkat sumpah jawatan untuk memimpin kerajaan yang turut disertai beberapa parti kecil bersama-sama parti pimpinannya, Parti Bharatiya Janata (BJP).

Presiden Droupadi Murmu mengendalikan upacara mengangkat sumpah Modi dan menteri-menterinya dalam satu majlis yang meriah diadakan di Rashtrapati Bhavan, rumah presiden yang dibina oleh British di tengah Delhi.

Menteri-menteri utama dalam pasukan Modi termasuk Rajnath Singh, Amit Shah, Nitin Gadkari, Jagat Prakash Nadda, Shivraj Singh Chouhan, Nirmala Sitharaman dan Subrahmanyam Jaishankar.

Gabungan Perikatan Demokratik Nasional (NDA) mempunyai 293 kerusi dalam dewan rendah parlimen yang mempunyai 543 anggota.

Jumlah kerusi BJP sendiri adalah 240, jauh daripada majoriti mudah 272 kerusi.

Dua sekutu utamanya – Parti Telugu Desam (TDP) yang berpangkalan di Andhra Pradesh, diketuai ahli politik veteran, Chandrababu Naidu dan Janata Dal-United pimpinan Ketua Menteri Bihar, Nitish Kumar – bersama-sama mempunyai 28 anggota dalam dewan rendah parlimen, Lok Sabha.

Majlis itu dihadiri oleh ratusan tetamu jemputan termasuk pemimpin-pemimpin luar seperti, Presiden Maldives Mohamed Muizzu, Presiden Sri Lanka Ranil Wickremesinghe, Naib Presiden Seychelles Ahmed Afif, Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina, Perdana Menteri Mauritius Pravind Kumar Jugnauth, Perdana Menteri Nepal Pushpa Kamal Dahal "Prachanda" dan Perdana Menteri Bhutan Tshering Tobgay.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 7:36 AM