Deretan kedai yang dipercayai terkenal dengan aktiviti pelacuran berhampiran dengan Masjid Jamek Alam Shah yang terletak di Jalan Tun Razak, Pudu, Kuala Lumpur. FOTO SADIQ SANI
Deretan kedai yang dipercayai terkenal dengan aktiviti pelacuran berhampiran dengan Masjid Jamek Alam Shah yang terletak di Jalan Tun Razak, Pudu, Kuala Lumpur. FOTO SADIQ SANI
Oleh Amir Abd Hamid dan Hakimi Suria Kencana


Kuala Lumpur: Sebuah medan selera di Jalan Gelang berhampiran Jalan Pasar Baharu, Pudu di sini, bukan saja menyediakan santapan makanan dan minuman malah pelacur kepada lelaki kemaruk seks.

Sebaik saja melepasi tangga pintu masuk di medan selera itu pelanggan lelaki akan disapa pelacur yang menawarkan khidmat seks.

Berdasarkan maklumat diperolehi Harian Metro daripada pekedai di medan selera itu, premis berkenaan beroperasi 24 jam.

Tinjauan waktu makan tengah hari mendapati pelacur berkeliaran mencari pelanggan secara bebas.

Di sekeliling medan selera itu ditutup dengan papan iklan minuman keras dan khidmat urutan selain turut terdapat pentas persembahan di bahagian hadapan.

Pemerhatian waktu tengah hari mendapati pelacur beroperasi dengan mereka pergi dari satu meja ke meja lain untuk memujuk pelanggan mengambil perkhidmatan seks ditawarkan mereka.

Bermodalkan air soya tin untuk duduk di meja bulat bagi merisik maklumat, wartawan dan jurugambar Harian Metro turut didekati beberapa pelacur.

Seorang daripada pelacur menepuk paha jurugambar dan menawarkan khidmat pada harga RM100.

Pelacur yang mendakwa berasal dari Vietnam itu mengajak khidmat seks lengkap pakej urut yang boleh dilakukan di bilik di bangunan bersebelahan.

Pelacur itu turut menjelaskan harga RM100 adalah tetap walaupun hanya mahukan urutan dan tidak mahu khidmat seks.

Menyedari foto tindak-tanduk dirakamkan telefon pintar jurugambar, pelacur itu memberi amaran supaya tidak mengambil gambarnya.

Pemerhatian turut mendapati medan selera itu dikunjungi lelaki berusia sekitar 40-an hingga 70-an.

Cara memujuk sama iaitu menghampiri pelanggan dari meja ke meja, lalu mengurut belakang atau memegang paha untuk mendapatkan perhatian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Jun 2024 @ 7:05 AM