ANTARA pesawat Delta Air. FOTO fail AFP
ANTARA pesawat Delta Air. FOTO fail AFP
AFP

Los Angeles: Seorang lelaki yang menaiki sebuah pesawat Delta Air cuba menceroboh masuk ke ruangan kokpit menyebabkan penumpang lain dan kru terpaksa menahannya.

Pesawat itu berlepas dari Los Angeles ke Nashville itu terpaksa melakukan pendaratan cemas di Albuquerque, New Mexico.

Suspek lelaki diseret keluar daripada pesawat dengan tangan dan kakinya diikat.

Suspek berulang kali menjerit 'hentikan pesawat ini' ketika bergelut di depan kabin, berdasarkan rakaman kamera telefon dalam kejadian pada Jumaat lalu.

Seorang penumpang yang enggan namanya disiarkan memberitahu CNN, suspek yang tidak melakukan sebarang provokasi itu bangun dan kemudiannya bergegas ke kabin juruterbang dan mula memukul pintu kokpit.

Seorang lagi penumpang, Jessica Roberstson, menggambarkan kejadian itu sebagai 'menakutkan', tetapi memuji pramugari kerana bertindak pantas.

Biro Siasatan Persekutuan (FBI) di Albuquerque mengesahkan kejadian dan tindakan susulan diambil pihak berkuasa itu berhubung kejadian berkenaan di Twitter.

Sementara itu, Delta Air dalam satu kenyataan kepada media mengucapkan 'terima kasih' kepada kru dan penumpang pesawat Delta 386 dari Los Anglese ke Nashville yang membantu menahan penumpang yang tidak terkawal itu.

"Pesawat berkenaan mendarat tanpa insiden dan penumpang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

"Penumpang yang tinggal menghabiskan lima jam di Albuquerque sebelum penerbangan baharu membawa mereka ke Nashville," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Jun 2021 @ 9:45 AM