ISSAD REBRAB
ISSAD REBRAB
AFP

ALGIERS: Lelaki terkaya Algeria, Issad Rebrab ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan berkaitan kes rasuah, menurut media rasmi negara itu sehari selepas penangkapannya.

Penahanan atas tuduhan rasuah itu susulan peletakan jawatan presiden Abdelaziz Bouteflika pada awal April selepas protes besar-besaran terhadap pemerintahannya selama 20 tahun.

Rebrab, 74, ketua eksekutif konglomerat terbesar Cevital, ditahan semalaman, menurut agensi berita APS.

Majalah Forbes menyenaraikan Rebrab sebagai lelaki terkaya Algeria dan ke-enam paling kaya di Afrika dengan nilai bersih AS$3.38 bilion (RM13.9 bilion) pada 2019.

“Dia disyaki membuat kenyataan palsu berkaitan pemindahan dana dari dalam dan ke luar negara.

“Dia juga disyaki mengimport peralatan terpakai tetapi menikmati cukai yang disediakan oleh pihak berkuasa untuk pembelian barang baharu,” lapor APS.

Pada Isnin lalu, menerusi laman Twitter, Rebrab memberitahu pergi ke balai polis secara sukarela untuk membincangkan peralatannya yang disekat di pelabuhan Algiers sejak Jun 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 April 2019 @ 6:04 PM