GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
AFP

HANOI: Seorang lelaki Vietnam ditahan pihak berkuasa semalam apabila dipercayai cuba menyeludup kulit dan tulang harimau seberat 5.4 kilogram ke China.

AFP melaporkan, lelaki terbabit ditahan di utara wilayah Quang Ninh oleh pengawal sempadan selepas membawa kulit haiwan terbabit bersama lima tulang.

“Lelaki itu cuba membawa keluar kulit dan tulang harimau melepasi sempadan,” kata jurucakap di stesen sempadan di Quang Ninh.

Kulit harimau itu mencecah harga AS $6,000 (RM24,696) di Vietnam dan AS $10,000 (RM41,160) di China manakala satu gram tulang haiwan itu pula dijual dengan harga AS $1,000 (RM4,116), lapor media tempatan.

Pada 2017, pihak berkuasa pernah merampas lima bangkai harimau yang disimpan di dalam peti sejuk tetapi organnya sudah dikeluarkan dalam kejadian di tengah wilayah Nghe An.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 April 2019 @ 3:07 PM