TIKUS montel yang terpaksa diselamatkan oleh sembilan anggota bomba kerana badannya tersekat dalam penutup longkang. FOTO Agensi
TIKUS montel yang terpaksa diselamatkan oleh sembilan anggota bomba kerana badannya tersekat dalam penutup longkang. FOTO Agensi
Agensi

BERLIN: Seekor tikus montel mencuri perhatian penduduk di bandar Bensheim, Jerman apabila terpaksa diselamatkan sembilan anggota bomba kerana badannya tersekat dalam penutup longkang.

Daily Mail melaporkan, tikus terbabit dilihat oleh dua kanak-kanak perempuan, tengah hari Ahad lalu sebelum menghubungi talian kecemasan.

Haiwan itu yang tersekat di celah lubang penutup longkang berjaya dikeluarkan oleh anggota bomba bersama penyelamat haiwan sebelum dilepaskan kembali.

Seorang penyelamat haiwan, Michael Sehr berkata, dia tiba lebih awal ke situ tetapi gagal mengeluarkan tikus berkenaan dan ia memerlukan tenaga anggota bomba untuk melakukan kerja terbabit.

“Tikus itu tersekat pada bahagian pinggul dan langsung tidak boleh bergerak. Biarpun haiwan ini tidak disukai tetapi ia berhak dihormati,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 11:43 AM