Phnom Penh: Kemboja kini melatih skuad elit tikus yang diimport dari Afrika untuk mengesan periuk api dan jerangkap samar bahan letupan lain di negara yang pernah dilanda perang itu.

Ketua Pengarah Pusat Tindakan Periuk Api Kemboja (CMAC) Heng Ratana berkata semalam, 15 tikus yang ada antaranya seberat 1.2 kilogram diimport dari Tanzania pada April dengan bantuan organisasi bukan kerajaan Belgium yang melatih haiwan itu supaya mengesan periuk api.

“Jika tikus berkenaan lulus ujian kami akan menggunakan haiwan itu. Jika tidak, kami akan menamatkan program berkenaan,” katanya.

Menurutnya, penggunaan tikus berjaya mengesan periuk api dan penyakit batuk kering di beberapa negara Afrika termasuk Tanzania, Mozambique dan Angola.

Tikus berkenaan kini dilatih pakar di wilayah Siem Reap, lokasi kompleks Angkor Wat negara itu.

Malangnya, seekor tikus terbabit mati dipercayai akibat perubahan cuaca.

Pakar bercadang menguji tikus berkenaan dalam tempoh beberapa minggu akan datang termasuk untuk memastikan sama ada haiwan itu mampu mengesan semua jenis letupan termasuk yang ditanam jauh dalam tanah serta secepat mana ia bekerja.

“Tikus itu akan diuji di padang yang memang mempunyai periuk api. Pada peringkat ini memang terlalu awal untuk mengatakan sama ada kami benar-benar boleh menggunakan tikus berkenaan,” katanya.

Menurutnya, dua pakar periuk api Kemboja yang pernah menjalani latihan di Tanzania kini berkongsi kepakaran mereka di negara asal.

Perang saudara hampir tiga dekad di Kemboja pada 1960-an meninggalkan periuk api yang dipercayai paling banyak di dunia. Bulan lalu, pasukan penyelam Kemboja menemui bom buatan Amerika Syarikat di Sungai Mekong.

Menurut statistik kerajaan Kemboja, 154 terbunuh atau parah akibat periuk api pada 2014 manakala 111 pada tahun sebelumnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 8:14 AM