RIBUAN pemandu teksi di Korea Selatan membantah amalan kongsi kenderaan di Seoul. FOTO EPA
RIBUAN pemandu teksi di Korea Selatan membantah amalan kongsi kenderaan di Seoul. FOTO EPA
Reuters

SEOUL: Beribu-ribu pemandu teksi di Korea Selatan meninggalkan kenderaan masing-masing dan mengadakan tunjuk perasaan membantah amalan berkongsi kenderaan yang dianggap mampu menjejas perniagaan serta mengancam pendapatan mereka.

Tunjuk perasaan itu berlaku beberapa hari selepas seorang pemandu teksi bertindak membakar diri sebagai membantah pelaksanaan perkhidmatan perkongsian kereta, Kakao Mobility, sebuah unit pengendali pengantara bergerak Kakao Corp.

“Jika perkhidmatan ini berkuasakuasa, pendapatan saya akan berkurangan separuh. Saya bakal miskin,” kata pemandu teksi, Yoon Woo-seok, 62, ketika tunjuk perasaan yang diadakan di hadapan Dewan Negara, di Seoul.

Kebanyakan pemandu teksi memakai pengikat kepala hitam dan riben sambil melaungkan rasa kekecewaan ‘perang kongsi kereta haram’.

Bantahan daripada pemandu teksi dan peraturan di negara ekonomi keempat Asia menghalang perkhidmatan pengangkutan baharu itu diperkenalkan sama seperti apa yang diamalkan Uber Technologies di Amerika Syarikat (AS).

Kakao menangguhkan pelancaran rasmi perkhidmatan itu sejurus selepas insiden bunuh diri membabitkan pemandu teksi terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Disember 2018 @ 8:55 PM