LAMAN web Wikipedia yang digodam. - Wikipedia
LAMAN web Wikipedia yang digodam. - Wikipedia
Agensi

Washington: Laman web Wikipedia untuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menjadi mangsa serangan penggodam kelmarin yang menggantikan gambarnya dengan gambar kemaluan lelaki.

Penggodam berjaya mengekalkan gambar lucah itu pada laman untuk Trump sepanjang Hari Kesyukuran, bermakna sesiapa yang mencari maklumat mengenai Trump tidak lagi melihat gambar muka Trump tersenyum.

Menurut Daiuly Mail yang memetik laporan The Verge, mereka yang mengemukakan soalan melalui aplikasi Apple, Siri, mengenai presiden berusia 72 tahun itu akan memasuki laman web memaparkan gambar kemaluan lelaki berkenaan.

Difahamkan penggodam sentiasa mengemas kini gambar berkenaan walaupun pengendali laman web Wikipedia berusaha membuangnya.

Rekod sejarah laman berkenaan menunjukkan gambar lucah itu dimuat naik kembali setiap kali selepas suntingan bagi membuangnya dilakukan.

Hanya pada awal pagi semalam, tahap perlindungan laman untuk profil Trump itu ditingkatkan selepas dimasukkan dalam kategori ‘akaun diceroboh’.

Gangguan masih dikesan walaupun selepas tahap perlindingan ditingkatkan kepada ‘memerlukan kebenaran pentadbir’ untuk menyunting laman berkenaan.

Laman profil Trump itu hanya kembali kepada asal selepas pengendali laman web Wikipedia menarik kebenaran semua pengarang untuk menyunting laman Trump itu.

Beberapa senator Republikan menjadi mangsa gangguan siber melalui Wikipedia baru-baru ini, apabila alamat dan nombor telefon ahli politik Lindsey Graham, Mike Lee dan Orrin Hatch disiarkan ketika kes Ketua Hakim Mahkamah Agung Brett Kavanaugh didengar di mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 November 2018 @ 10:01 AM