Rick Stanton (kanan) dan John Volanthen (kiri) ketika operasi menyelamatkan 12 remaja serta jurulatih mereka di utara Thailand, Jun lalu. - Foto Fail
Rick Stanton (kanan) dan John Volanthen (kiri) ketika operasi menyelamatkan 12 remaja serta jurulatih mereka di utara Thailand, Jun lalu. - Foto Fail
AFP

Bangkok: Dua penyelam Britain yang terbabit dalam operasi menyelamat 12 remaja pemain bola sepak yang terkandas dalam gua akibat banjir di utara Thailand Jun lalu, sebenarnya turut menyelamatkan sekumpulan empat dewasa yang cuba mencari kanak-kanak terbabit.

Pada hari kesembilan operasi mencari, penyelam Britain Rick Stanton dan John Volanthen menemui remaja terbabit bersama jurulatih mereka yang masih hidup dengan minum air hujan mengalir di celah batu. Mereka diselamatkan dengan ditidurkan ketika selaman dan dibawa ke mulut gua seminggu kemudian.

Namun, beberapa hari sebelum itu, penyelam terbabit menemui empat penduduk Thailand yang turut terperangkap di satu bahagian kompleks gua berkenaan ketika mencari kanak-kanak itu.

Ketika satu majlis komuniti gua ‘Hidden Earth’ di Somerset, Britain, minggu ini, Stanton berkata, dia terserempak dengan empat pekerja syarikat air Thailand itu pada 28 Jun.

Menurut laman web Darkness Below yang menyiarkan ringkasan kisah disampaikan Stanton itu, mereka sudah 24 jam terperangkap dengan air semakin naik.

Stanton dan Volanthen tiada kelengkapan selaman tambahan lalu memutuskan membawa keluar mangsa seorang demi seorang menggunakan kelengkapan selaman salah seorang daripada mereka.

Pihak berkuasa bagaimanapun, tidak mengumumkan kejadian itu kepada awam atau media.

“Kisah mereka menyelamatkan empat dewasa itu hebat, namun ia tidak pernah disiarkan dalam media,” kata Pengerusi Persatuan Jelajah Gua Britain Les Williams. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 September 2018 @ 6:48 PM