DUA belas pemain bola sepak kanak-kanak Thailand yang hilang ditemui selamat. Foto AFP
DUA belas pemain bola sepak kanak-kanak Thailand yang hilang ditemui selamat. Foto AFP
Reuters

DUA belas kanak-kanak lelaki dan jurulatih bola sepak mereka yang ditemui masih hidup selepas 10 hari terperangkap jauh di dalam gua banjir terpaksa bertahan lebih lama ketika penyelamat memikirkan bagaimana membawa mereka keluar, kata Gabenor Chiang Rai hari ini.

Penyelam bergelut melalui laluan sempit dan air keruh sebelum menemui kanak-kanak itu lewat malam semalam di atas batu tinggi sejauh empat kilometer (km) dari mulut gua.

Video diambil penyelamat sambil dibantu kerdipan lampu suluh menunjukkan kanak-kanak itu memakai seluar pendek serta berbaju merah dan biru duduk di atas batu lebih tinggi dari aras air.

“Berapa ramai di sana, 13? Bijak,” kata seorang anggota pasukan penyelamat pelbagai negara, bercakap dalam bahasa Inggeris memberitahu mereka. “Anda sudah berada di sana 10 hari. Anda amat kuat.”

“Terima kasih,” kata seorang daripada kanak-kanak lelaki itu. Seorang daripada mereka bertanya bila mereka dapat keluar dan dijawab penyelamat. “Bukan hari ini. Anda perlu menyelam.”

Dua penyelam Britain, John Volanthen dan Rick Stanton, yang pertama menemui budak lelaki itu, memiliki pengalaman luas usaha menyelamat dalam gua, menurut Bill Whitehouse, Naib Presiden Majlis Menyelamat Gua British (BCRC).

Mereka menemui kumpulan itu bersama pasukan penyelam tentera laut Thailand, SEAL. Kelangsungan hidup kanak-kanak itu disambut dengan sorakan meluas oleh rakyat Thailand yang mengikuti rentetan kisah itu.

Berusia antara 11 hingga 16 tahun, kanak-kanak lelaki itu hilang bersama jurulatih berusia 25 tahun selepas latihan bola sepak 23 Jun lalu ketika meneroka kompleks gua Tham Luang dalam sebuah taman negara berhampiran sempadan utara Thailand dengan Myanmar.

Penyelamat kini perlu membuat keputusan bagaimana mengeluarkan kumpulan itu dalam keadaan mereka yang lemah.

“Jika anda bertanya saya sekarang ketika kami sedang menilai semua keadaan, justeru saya tidak fikir mereka dapat pulang dengan segera,” kata Gabenor Chiang Rai, Narongsak Osottanakorn kepada media.

Keadaan kesihatan kumpulan itu dinilai pasukan perubatan yang terus memeriksa mereka semalam, kata Narongsak, menjelaskan budak lelaki itu mengalami cedera ringan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Julai 2018 @ 10:25 AM