Anggota bomba mengeluarkan mayat tiga mangsa rentung selepas kenderaan yang mereka naiki terbakar dalam satu kemalangan di Jalan Masjid Negeri, di sini. FOTO IHSAN JBPM
Anggota bomba mengeluarkan mayat tiga mangsa rentung selepas kenderaan yang mereka naiki terbakar dalam satu kemalangan di Jalan Masjid Negeri, di sini. FOTO IHSAN JBPM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Sampel asid deoksiribonukleik (DNA) waris kepada tiga mangsa rentung dalam kemalangan di Jalan Masjid Negeri, di sini, Isnin lalu sudah diambil Jabatan Forensik Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi proses pengecaman mayat.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, sampel DNA itu diambil susulan pengecaman mayat tidak dapat membuktikan mereka yang hadir semalam, adalah waris kepada mangsa itu.

Menurutnya, pengecaman gagal dibuat berikutan barang peribadi yang diperoleh daripada ketiga-tiga mayat tidak cukup selain tiada ciri pengenalan khas.

"Sehubungan itu, forensik mengambil sampel DNA daripada setiap waris mangsa dan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk proses pengesahan identiti mayat terbabit.

"Pada masa ini, ketiga-tiga mayat itu disimpan di bilik peti sejuk Jabatan Forensik HPP sementara menunggu keputusan ujian DNA diperoleh.

"Selepas itu, kita akan serah mayat kepada ahli keluarga mereka," katanya kepada media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata hasil bedah siasat ke atas ketiga-tiga mayat itu mendapati punca kematian disebabkan 'severe burn' (melecur) terbabit dalam kemalangan.

"Hasil pemeriksaan doktor turut mengesahkan mayat tiga mangsa yang terdiri daripda dua lelaki dan seorang perempuan itu berusia lingkungan 20-an," katanya lagi.

Terdahulu Harian Metro melaporkan tiga individu rentung selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum melanggar sebatang pokok dan terbakar.

Dalam kejadian pada 2.50 pagi itu, kesemua mangsa rentung akibat terperangkap dalam kereta Toyota Vios yang dinaiki.

Setakat ini identiti kesemua mangsa itu belum dikenal pasti, berikutan mangsa serta kereta itu hangus sepenuhnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Ogos 2021 @ 1:27 PM