FOTO fail menunjukkan lelaki di kawasan runtuhan WTC New York. FOTO AFP
FOTO fail menunjukkan lelaki di kawasan runtuhan WTC New York. FOTO AFP
AFP

Washington: Amerika Syarikat (AS) memberi komitmen untuk mengkaji dokumen berkaitan serangan 11 September 2001 dan melihat apa yang boleh dikongsikan kepada umum.

Dalam satu surat kepada Peguam Negara AS, Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) berkata, pihaknya memutuskan untuk mengkaji semula dan tidak akan mendedahkan dokumen sensitif sebaliknya mengenal pasti maklumat yang sesuai untuk didedahkan, lapor AFP.

"Ejen FBI akan mendedahkan maklumat berkenaan secepat mungkin," menurut surat itu.

Komitmen itu adalah sebahagian daripada tindakan undang-undang oleh saudara-mara mangsa tragedi terhadap Arab Saudi dan negara lain yang dianggap mempunyai kaitan.

Pentadbiran AS sebelum ini menggunakan alasan kerahsiaan negara untuk tidak menerbitkan beberapa dokumen.

Bagaimanapun, dalam satu kenyataan, Presiden Joe Biden berkata, beliau menyambut baik pemfailan kes di mahkamah.

"Pentadbiran saya komited untuk memastikan ketelusan maksimum mengikut undang-undang, dan mematuhi panduan yang ketat mengenai penggunaan hak rahsia negara," katanya.

Negara itu melakukan persiapan untuk memperingati ulang tahun ke-20 serangan terhadap Pusat Dagangan Dunia (WTC), New York; Pentagon, dan sebuah pesawat yang terhempas di Pennsylvania, dengan upacara yang diadakan di New York dengan kehadiran Biden.

Beberapa saudara mangsa dan anggota pasukan penyelamat mengeluarkan surat minggu lalu mengatakan Biden tidak akan diterima di upacara peringatan itu sehingga dia memenuhi komitmennya.

Surat yang ditandatangani 1,700 ahli keluarga mangsa itu meminta pendedahan semua dokumen dan maklumat mengenai fokus siasatan kerajaan yang didakwa ada kaitan dengan Arab Saudi dalam kejadian berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Ogos 2021 @ 10:54 AM