PENUMPANG terkandas selepas Osaka dilanda taufan. FOTO/AFP
PENUMPANG terkandas selepas Osaka dilanda taufan. FOTO/AFP
Agensi

OSAKA: Sehari selepas taufan kuat menyebabkan 11 maut dan mencederakan lebih 400 orang di barat Jepun, kira-kira 3,000 penumpang yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai dipindahkan menggunakan bot atau pengangkutan lain hari ini.

Jurucakap kerajaan, Yoshihide Suga berkata, 11 orang maut manakala 470 cedera. Menurut Kansai Electric, lebih 400,000 isi rumah terputus bekalan kuasa akibat serangan Taufan Jebi.

Ketika Jebi melemah kepada puting beliung luar tropika berhampiran Sakhalin di Timur Jauh Russia sekitar 9 pagi selepas membadai seluruh barat Jepun semalam, perkhidmatan shinkansen beroperasi di rantau itu, namun Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai yang banjir, ketiga paling sibuk di Jepun, masih ditutup masuk hari kedua, dengan tempoh pembukaan semula tidak pasti.

Di lapangan terbang di pulau buatan di Teluk Osaka dan digunakan 80,000 penumpang sehari, sebuah landasan dan bangunan terminal dinaiki air semalam, sementara jambatan yang menyediakan satu-satunya laluan dan akses kereta api ke lapangan terbang dari tanah besar, rosak teruk akibat dirempuh kapal tangki yang dibadai angin kencang dan gelombang besar.

Daripada 5,000 orang yang bermalam di lapangan terbang termasuk 2,000 kakitangan, sesetengahnya dipindahkan hari ini menggunakan bot laju ke lapangan terbang berhampiran di Kobe, menyeberangi Teluk Osaka.

Yang lain dipindahkan menaiki bas ke tanah besar menggunakan laluan tidak dirosakkan akibat rempuhan kapal dengan jambatan sepanjang 3,700 meter.

Barisan panjang terbentuk di kawasan pelepasan sejak awal pagi dengan penumpang mengadu lapangan terbang Kansai tidak bersedia dengan bencana seperti itu.

Kata mereka, pendingin hawa dalam lapangan terbang tidak berfungsi dan selimut dibekalkan kepada penumpang yang terpaksa bermalam tidak mencukupi, memaksa mereka tidur di atas surat khabar dibentang di atas lantai.

“Kami tidak boleh menggunakan mesin layan diri yang sepatutnya berfungsi ketika bencana atau Wi-Fi,” kata Hideko Senoo, 51, yang bercadang melancong ke India bersama keluarganya.

Miki Yamada, 25, yang bercadang ke Thailand bersama seorang rakan berkata, dia terpaksa bermalam di kafe lapangan terbang.

Jebi menyebabkan kerosakan teruk di lapangan terbang itu, pintu utama buat pelancong tiba dari negara Asia dan menaikkan kebimbangan kesannya terhadap industri pelancongan Jepun.

Lebih 200 penerbangan dibatalkan hari ini, menjejaskan 30,000 orang, menurut pengendali lapangan terbang.

Angka itu mungkin meningkat ketika sumber lapangan terbang berkata, ia mungkin ditutup esok, walaupun kerajaan menubuhkan pasukan tugas khas di pejabat Perdana Menteri menyasar memastikannya beroperasi segera.

Lembaga Keselamatan Pengangkutan Jepun dijangka menyiasat rempuhan kapal itu dengan penyiasat menemuramah kru kapal tangki terbabit.

Kira-kira 160 murid sekolah rendah turut terkandas sejak semalam dalam sebuah premis di mana mereka menginap ketika lawatan sekolah di Kyoto, berhampiran Osaka selepas pokok tumbang menyekat jalan sekitar, kata pegawai tempatan.

USJ Co. berkata hari ini, Universal Studios Japan di sini ditutup masuk hari kedua, kali pertama tarikan utama pelancong itu ditutup sejak dibuka pada 2001. Taman tema itu dijangka dibuka semula esok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 September 2018 @ 9:52 PM